‘Saya dikecam, orang cakap saya fitnah Ebit Lew’-Pengadu

‘Saya dikecam, orang cakap saya fitnah Ebit Lew’-Pengadu

EBIT Lew semasa menghadiri perbicaraan kes gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TENOM: “Saya dikecam, orang (warga maya) cakap saya fitnah Ebit Lew. Orang tidak percaya apa saya cakap. Malah, mereka menyalahkan saya. Saya baca ramai orang cakap saya fitnah Ebit Lew,”.

Demikian keterangan pengadu yang juga saksi kesembilan semasa menjelaskan tentang maksud jawapannya tidak pasti ketika ditanya peguam bahawa apa sahaja bukti di mahkamah boleh digunakan untuk mencemarkan imejnya.

Pengadu memberitahu perkara itu di Mahkamah Majistret di sini semasa sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria.

Pengadu memberitahu Zahida, dia menjawab ‘ya’ kepada soalan peguam bela semasa ditanya apa sahaja bukti di mahkamah akan memberi kesan kepadanya sebagai seorang isteri kerana dia keliru dengan soalan tersebut.

“Saya jawab ya sebab apa yang saya buat itu iaitu terikut cakap Ebit Lew. Saya rasa saya berdosa sebagai seorang isteri. Ebit memanipulasi saya sampai saya terikut permintaan dia,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, dia percaya dengan Ebit Lew sebab dia fikir Ebit betul-betul ustaz yang baik tapi dia tersilap.

“Saya silap sebab saya fikir bila berjumpa dengan Ebit Lew hubungan kekeluargaan saya bertambah baik tapi, apa yang Ebit buat sama sekali saya tidak terfikir, seorang pendakwah sanggup buat begitu,” katanya.

Menurut pengadu, dia mula menghubungi Ebit Lew melalui Instagram atas dasar percaya Ebit adalah seorang pendakwah dan pakar motivasi bagi Program Keluarga Sunnah.

“Saya cari Ebit Lew untuk selesaikan masalah kekeluargaan saya sebab saya tengok peserta yang ikut program Ebit Lew menunjukkan mereka mengamalkan sunah dalam keluarga. Jadi, saya mahu tambah baik hubungan kekeluargaan saya,” katanya.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Datuk Ram Singh, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak dan Kamarudin Mohmad Chinki.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya