PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi penyokong setia Manchester United walaupun pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris itu terus merekodkan kekalahan demi kekalahan dalam siri perlawanan akhir-akhir ini.
Malah, Perdana Menteri turut mengakui tidak mampu ‘menukar’ pasukan bola sepak kegemarannya itu walaupun sering ‘diperlekehkan’ cucu-cucunya selepas Manchester United dibenam pasukan lawan.
Kata beliau, situasi itu adalah ketika perbualan santai beliau bersama keluarganya.
“Saya ini dari dulu memang penyokong ‘Man U’ jadi cucu-cucu saya kata papa tok, kamu sudah ‘purba’, sejarah sudah berlalu.
“Saya kata tidak, saya tidak mampu tukar lagi (pasukan kegemaran), dia (cucu) penyokong Arsenal, sebahagian kecil Arsenal. Saya kata tidak, saya tidak akan bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar berkata, apa yang ditonjolkan cucunya itu menunjukkan bahawa minat terhadap sukan khususnya bola sepak bersifat menyeluruh dan merentas generasi.
“Setiap kali cucu saya datang, dia kata Manchester United kalah lagi papa tok, hish…tak larat dengar,” katanya disambut ketawa hadirin.
Pada Ahad lalu, Manchester United mengalami kekalahan ketika menentang Liverpool dengan keputusan 0-3 di Old Trafford.
Dua gol daripada pemain sayap dari Colombia, Luis Diaz dan gol ketiga daripada penyerang terbilang dari Mesir, Mohamed Salah. – UTUSAN