KUALA LUMPUR: Aisha Retno, 24, mengambil maklum teguran segelintir netizen yang berasa kurang senang dengan tindakan penyanyi itu mempersembahkan tarian moden sambil berpakaian tradisional Kelantan menerusi muzik video lagu terbarunya, Samudera.
Kata pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, dia bukan mahu mencipta kontroversi, sebaliknya hanya berniat untuk memperkenalkan budaya dan tradisi negeri itu kepada masyarakat menerusi penampilannya dalam video muzik lagu berkenaan.
“Saya tahu isu baju tradisional ini sangat tinggi sensitivitinya. Sebab itu, sebelum membuat keputusan untuk memakai busana Cik Siti Wan Kembang dalam muzik video itu, saya rujuk dulu kepada pihak yang arif.
“Saya pakai busana itu bukan semata-mata untuk nampak cantik, tapi sebenarnya saya nak sampaikan mesej bahawa tidak salah untuk mempersembahkan tarian moden sambil menggayakan persalinan tradisional.
“Dan dalam video muzik itu pun saya tidak mengenakan busana berkenaan dalam keadaan berkemban, sebaliknya saya tutup bahagian yang terdedah dengan kain.
“Isu ini memang sensitif, lebih-lebih lagi di Kelantan. Sebab itu ada yang komen mengenai gaya pemakaian dalam video muzik berkenaan. Apa pun kalau ada yang kurang senang, saya mohon maaf. Saya akan lebih cakna selepas ini,” katanya.
Aisha berkata demikian sewaktu pelancaran lagu Samudera di ibu negara, semalam.
Muzik video lagu tersebut, yang dipertontonkan secara rasmi di Youtube sejak 13 September lepas telah menerima lebih 55, 000 jumlah tontonan di platform tersebut.
Sementara itu, penyanyi yang namanya meledak menerusi lagu Sutera ini memaklumkan dia berusaha sedaya upaya mendalami dan memperbaiki penguasaan dialek Kelantannya demi lagu Samudera.
“Meskipun ayah saya orang Kelantan, saya tidaklah fasih bertutur dalam dialek negeri itu sebab jarang menggunakannya di rumah.
“Tapi, saya perbaiki dan lebih mendalami bahasa Kelantan dengan bantuan ayah saya. Prosesnya bukan mudah. Seperti bahasa Jawa, bagi saya bahasa Kelantan juga agak susah untuk dipelajari.
“Tapi, kita tak boleh ambil ringan pasal bahasa dan budaya. kalau mahu ketengahkan, biarlah dengan betul dan kena berhati-hati,” tambahnya.