Saran bina pembentung, jalan guna perisian BIM

Saran bina pembentung, jalan guna perisian BIM

AHMAD Maslan (dua dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Geochitra 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan perisian Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) perlu diperluaskan untuk pembinaan sistem pembentungan dan jalan raya di negara ini bagi mengelak insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini berulang.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dengan adanya BIM secara menyeluruh, ia dapat mengurangkan pertembungan utiliti bawah tanah ketika pembinaan sekali gus dapat mengelak peningkatan kos pembinaan akibat kerosakan.

“Sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar ditubuhkan untuk kita menyelaraskan segala teknologi baharu dalam pembinaan bangunan dan juga pembinaan jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Geochitra 2024 di sini, hari ini.

Menurutnya, BIM merupakan model tiga dimensi (3D) untuk pembinaan atas bangunan sehingga bawah tanah.

Sehubungan itu, Ahmad mencadangkan universiti tempatan dan syarikat pembinaan tempatan bekerjasama membangunkan perisian BIM bagi mengurangkan lagi kos.

“Ketika ini kita menggunakan perisian dari negara maju seperti United Kingdom dan disebabkan kosnya tinggi, kita minta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) khususnya merekacipta dengan pihak pakar supaya BIM boleh dikeluarkan oleh kita sendiri tanpa langgar hak cipta dari luar negara.

“Ia untuk kurangkan kos terutama kepada syarikat kecil apabila mereka laksanakan projek itu dan terpaksa guna BIM, satu perisian itu sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Jadi, kita nak kurangkan kos dan wujudkan perisian sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN