Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini secara terbuka membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Permohonan maaf itu berkaitan kenyataan beliau pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara di Gombak, Selangor yang didakwa menghina baginda.

“Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 seperti yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku,” katanya ketika membacakan permohonan maaf itu pada sidang akhbar selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Ia adalah permohonan maaf pertama Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu yang dibuat secara terbuka selepas kejadian tersebut yang turut kesal di atas perkara negatif yang timbul akibat kenyataannya itu.

“Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersenda Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik apabila berada di Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti yang telah patik perkatakan walaupun ucapan itu dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya,” katanya.

Ujar Muhammad Sanusi, pihaknya juga dengan penuh rasa insaf dan rendah diri memohon beribu keampunan kepada Sultan Selangor termasuk Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya itu. 

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setia ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja” katanya.

Pada 29 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak pukul 11 malam, 11 Julai tahun lalu. 

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya