Sanusi mengaku telah berkahwin dengan pegawai polis

Sanusi mengaku telah berkahwin dengan pegawai polis

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menamatkan spekulasi apabila akhirnya mengakui beliau sudah bernikah dengan seorang pegawai polis, baru-baru ini.

Muhammad Sanusi berkata, pernikahan itu dilakukan secara teratur termasuk majlis peminangan yang dilakukan sendiri oleh isteri pertamanya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

Ujar beliau, isteri dan kesemua anak-anaknya turut menghadiri majlis perkahwinan itu yang diadakan secara kecil-kecilan melibatkan ahli keluarga terdekat mereka.

“Saya ada kuota dua lagi. Saya berkahwin dengan anggota polis berstatus ibu tunggal seorang anak, isteri saya pergi meminang berbulan-bulan dulu dah. Alhamdulillah sempurna, teratur dan beres.

“Semua proses yang kena buat untuk bernikah dipatuhi. Jadi tak ada apa-apa isu. Dia bukan penyiasat kes Unsur Nadir Bumi (REE) tapi dia penyiasat kes bom di Kediaman Rasmi Menteri Besar sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Geran Tanah di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, selepas siasatan kes tersebut selesai, isteri pertama dan isteri keduanya itu bersahabat baik termasuk mengikuti aktiviti mengaji al-Quran dan kuliah bersama-sama.

“Saya jumpa (isteri kedua) untuk kali pertama dan kali terakhir atas siasatan bom itulah. Lepas itu tidak berjumpa lagi, tak ada berkawan dan tidak bercinta. Selepas kahwin baru saya bercinta kerana percintaan selepas kahwin lebih indah berbanding sebelum berkahwin,” katanya.

Beliau berkata, tujuan membuat pengakuan itu adalah bagi menjernihkan keadaan setelah pelbagai spekulasi timbul termasuk kononnya mereka berdua ditangkap berkhalwat sebelum ini.

“Jadi saya nak elak benda itu semua daripada orang buat dosa kering. Saya tak cakap apa-apa tapi nampak orang sudah keterlaluan buat spekulasi macam-macam, eloklah saya jernihkan keadaan saya berkahwin cara teratur.

“Hal peribadi, hal rumah tangga orang tak eloklah diheret merata-rata, hormati privasi saya dan keluarga. Harap-harap selepas ini tak ada spekulasi apa-apa lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kiasan tentang berjaya ‘menangkap orang yang mahu menangkapnya’ dalam ucapan di Bangi, Selangor kelmarin bukan merujuk kepada isteri keduanya.

Katanya, serangan yang bertalu-talu daripada pelbagai sudut dilakukan terhadapnya termasuk tenaga kerja yang dibawa masuk secara haram, penerokaan hutan simpan serta kecurian mineral REE.

“Bukan saya cakap tangkap isteri tetapi dalam musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dulu. Ada serangan besar daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) diketuai Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tentang isu REE. Semua serangan itu bukan tidak berkesan langsung tapi akhirnya dia buat silap.

“Saya tangkap dia buat silap terhadap dua kesilapan iaitu dia kata saya meluluskan permit bawa pekerja asing masuk hutan simpan dan kedua kata saya guna duit peruntukan Marris RM1.5 bilion untuk buat benda lain. Itulah tangkapan saya dalam kes ini. Saya ‘tangkap’ Menteri Dalam Negeri, tapi yang hampa faham tangkap isteri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN