Sanusi ke Jepun ketika Kedah banjir bukan untuk bercuti - Utusan Malaysia

Sanusi ke Jepun ketika Kedah banjir bukan untuk bercuti

MUHAMMAD Sanusi Md Nor (kiri) berada di Jepun sejak Selasa lalu atas urusan rasmi kerajaan negeri yang diatur April lepas. - IHSAN PEJABAT MB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketiadaan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika Kedah sedang dilanda banjir teruk bukan disebabkan beliau sedang bercuti di luar negara.

Pejabat Menteri Besar Kedah memaklumkan, keberadaan Muhammad Sanusi di Jepun ketika ini adalah atas urusan rasmi untuk mempelajari pengurusan operasi takungan air bawah tanah di wilayah Kumamoto City.

Menurut kenyataan, ketiadaan Menteri Besar di tanah air juga tidak akan menjejaskan operasi bantuan kerana agensi kawalan, bantuan dan keselamatan sedia ada di bawah kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diyakini mampu menangani situasi dengan efisien.

“Tular di media sosial Menteri Besar kononnya sedang bercuti di luar negara bersama isteri tatkala beberapa daerah di negeri ini sedang dilanda bencana banjir dan ribut.

“Memang benar beliau di luar negara namun bukan bercuti atau melancong seperti dituduh. Walaupun jauh, Menteri Besar sentiasa mengikuti setiap perkembangan bagi memastikan beban dihadapi semua mangsa banjir Kedah ditangani dengan cepat dan berkesan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, delegasi kerajaan negeri berangkat ke Jepun pada 17 September lalu iaitu sebelum banjir teruk melanda Kedah selain lawatan itu sudah diatur lama sejak keputusan dibuat dalam mesyuarat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) 1 April lalu.

Ujarnya, Jepun memiliki teknologi, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi dalam pengurusan takungan bawah tanah kerana selain Kumamoto, empangan yang sama terdapat di Okinawa.

“Satu projek alternatif akan dijalankan di Langkawi untuk mendapatkan bekalan air dari sumber bawah tanah bagi memenuhi keperluan pengguna sehingga 2040. Projek itu di bawah Bahagian Bekalan Air, Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA).

“Projek membina takungan air bawah tanah di Langkawi dijangka siap pada 2028 merupakan pertama di Asia Tenggara. Ia amat diperlukan bagi mengatasi masalah bekalan di Langkawi yang sering terjejas sekali gus mencemarkan imej selaku pulau pelancongan antara terbaik di dunia,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengumumkan akan segera memberikan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir.

Selain itu, Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara sebanyak RM1,000 akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah kepada semua KIR yang berpindah ke PPS. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN