Sanusi cuba ‘alih tiang gol’ - Utusan Malaysia

Sanusi cuba ‘alih tiang gol’

KERATAN laporan Utusan Malaysia tentang kenyataan Muhammad Sanusi Md Nor mengenai sistem bola sepak Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa meletakkan kesalahan di bahu pihak lain apabila mempertikai sistem bola sepak negara susulan kemelut kewangan melanda pasukan Kedah Darul Aman (KDA).

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya turut kecewa dengan bekas pemain digelar ‘lagenda Hijau Kuning’ yang menganggotai kerajaan negeri pada waktu ini kerana hanya berpeluk tubuh.

Dakwanya, mereka seolah-olah akur dengan penganiayaan yang sedang dilakukan oleh Muhammad Sanusi selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu.

“Kenyataan Menteri Besar yang mempertikai sistem bola sepak negara diterajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai satu usaha ‘mengubah tiang gol’ bagi menutup kelemahan diri sendiri.

“Kejayaan dan kelancaran syarikat lain di negeri-negeri khasnya Selangor haruslah dicontohi dan dijadikan panduan. Kenapa Selangor yang turut mengikut format Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) dan FAM boleh beroperasi dengan baik tanpa sebarang masalah kewangan.

“Selangor mempunyai penglibatan anak syarikat kerajaan negeri yang mampu membantu walaupun tidak mempunyai pegangan 100 peratus saham dalam syarikat,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Muhammad Sanusi terhadap sistem bola sepak negara yang telah gagal sehingga mengakibatkan beberapa pasukan tidak mampu bersaing disebabkan masalah kewangan.

Ujar beliau, pihak bertanggungjawab perlu mengkaji semula sistem sedia ada bagi membolehkan setiap negeri dapat menguruskan pasukan mereka dengan cara terbaik.

Mengulas lanjut, Shaiful Hazizy berkata, Muhammad Sanusi dilihat mengambil sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab dengan kenyataan dibuatnya.

“Saya yakin keputusan menswastakan bola sepak negeri tanpa strategi perniagaan yang berfokus dan pendekatan yang betul sudah tentu akan memberi kesan sangat besar terhadap pasukan.

“UMNO Kedah sangsi apakah fungsi Exco Kerajaan Negeri Kedah dan Ketua Pegawai Eksekutif KFA sendiri dalam ahli lembaga pengarah syarikat tanpa penglibatan mana-mana anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.

Justeru, beliau mengajak semua pencinta bola sepak Kedah dan kelab-kelab penyokong memohon agar Muhammad Sanusi segera campur bagi menyelesaikan kemelut kewangan yang semakin meruncing.

“Kegemilangan dan kehebatan bola sepak negeri yang turut menjadi sukan kegemaran rakyat Kedah akan terus terkubur sekiranya tiada sebarang tindakan diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN