PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan 2024 Sabtu lalu sebagai satu penganjuran luar biasa selain menyemarakkan semangat rakyat.
Perdana Menteri berkata, semangat patriotik turut diterjemahkan menerusi sambutan di seluruh negara sekali gus menggambarkan semangat perpaduan yang begitu mengesankan apatah lagi ia diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada sambutan di peringkat Kebangsaan di Putrajaya.
Beliau berkata, penyertaan pelajar-pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) dengan persembahan aset pertahanan negara begitu menakjubkan.
“Jadi, saya mahu ambil kesempatan ini ucap terima kasih sekali lagi kepada semua terlibat dipengerusikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil termasuk warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang sangat terkait dengan beberapa acara utama.
“Saya lihat sambutannya dan komen dalam dan luar negara, itu sangat luar biasa, saya lihat juga kibaran bendera seluruh negara, di Sepanyol, Paris dan beberapa negara lain.
“Kita bersyukur kerana negara aman, stabil dan semangat rakyat menyemarak, ia tidak malap dan lembab,” katanya Ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga JPM di sini hari ini.
Pada sambutan Hari Kebangsaan 2024, kira-kira 100,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 dan Dataran Putrajaya mula dibanjiri seawal pukul 1 pagi.
Acara perbarisan dan perarakan kali ini melibatkan 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi.
Anwar berkata, mengambil semangat luar biasa rakyat itu, beliau mahu semua pihak terutama perkhidmatan awam dapat memperbaiki prestasi dalam segala bidang.
“Semangat ini tak selalu jadi, kita sambut 67 tahun negara merdeka, tidak setiap tahun semangat itu sama.
“Ia kerana penglibatan anak-anak kita, pelajar sekolah, IPT yang saudara saksikan sendiri, kita berupaya buat sesuatu lebih baik,” katanya. – UTUSAN