Saman ibu model - PDRM gagal capai penyelesai

Saman ibu model – PDRM gagal capai penyelesai

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman yang difailkan ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang ditemukan maut selepas terjatuh daripada sebuah unit kondominium, enam tahun lalu terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia gagal mencapai sebarang penyelesaian.

Sehubungan itu, perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan pada 14 Oktober ini dan akan didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain akan diteruskan.

Terdahulu, Peguam Persekutuan, Anis Najwa Nazari yang mewakili kesemua responden dalam tuntutan saman itu memaklumkan responden tidak bersetuju dengan terma penyelesaian yang dikemukakan oleh plaintif yang juga ibu model terbabit, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.

“Kami ada menerima cadangan penyelesaian tetapi responden tidak bersetuju. Arahan yang diterima ialah untuk meneruskan dengan perbicaraan,”kata Anis Najwa yang turut dibantu oleh Peguam Persekutuan, Nuur Zul Izzati Zulkipli.

Christina memfailkan saman pada 20 November 2020 dengan menamakan Ketua Polis Negara (KPN), pegawai penyiasat, Asisten Superintenden, Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Anak wanita itu, Ivana Smit ditemukan mati pada 7 Disember 2018 dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium di Persiaran Capsquare di sini, selepas terjatuh dari tingkat 20 unit kondominium yang dimiliki pasangan Amerika, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Sementara itu, peguam, Datuk Sankara Nair memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil tujuh orang saksi yang mana tiga daripadanya merupakan saksi luar negara.

“(Bagaimanapun), kami masih berharap ada berita baik daripada pihak defendan sebelum atau pada tarikh perbicaraan,”kata peguam terbabit.

Sankara ketika ditemui media selepas tamat prosiding memberitahu, saksi pertama yang akan memberi keterangan ialah plaintif sendiri, Christina melalui aplikasi Zoom.

Pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman Christina atas alasan pernyataan tuntutan wanita terbabit tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Bagaimanapun pada 7 Februari 2022, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Christina dan memerintahkan saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar.

Menurut pernyataan tuntutannya, wanita itu menyatakan anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017, selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika, iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Christina berkata, dia tidak dapat menerima dapatan defendan-defendan termasuk pegawai penyiasat pertama, Sarjan Haliza menutup kes kematian anaknya sebagai `kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri’.

Menurut wanita itu, defendan-defendan membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa membuat siasatan menyeluruh dari semua aspek dan mengambil kira laporan bedah siasat, kimia dan sebagainya sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam penyiasatan.

Susulan tidak puas hati tersebut, satu inkues kematian Ivana diadakan di Mahkamah Koroner Kuala Lumpur yang bermula pada 8 Ogos 2018 dengan 22 orang saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas) dan tiada elemen jenayah.

Bagaimanapun, pada 22 November 2019, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan keputusan koroner dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya menyatakan kematian model itu adalah disebabkan oleh ‘individu yang dikenali atau tidak dikenali’ dan tidak ada penyiasatan yang mencukupi dijalankan oleh pihak berkuasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN