Salah guna wang Penjana: Pengarah syarikat mengaku tak bersalah

Salah guna wang Penjana: Pengarah syarikat mengaku tak bersalah

KOAY Chin Eng (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana) berjumlah RM32,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana) berjumlah RM32,000.

Bagaimanapun, tertuduh, Koay Chin Eng, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Chin Eng didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk dirinya sendiri, iaitu wang sebanyak RM21,500 yang merupakan wang bantuan Penjana Kerjaya 2.0.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah cawangan bank di Sungai Bakap pada 2 September 2021.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta milik Perkeso untuk diri sendiri, iaitu wang sebanyak RM10,500 yang merupakan wang bantuan Penjana Kerjaya 3.0.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Sungai Bakap, pada 24 Februari 2022.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Seri Ramli Yusuff dan Datuk Dzaamoddin Salleh.

Hakim Zulhazmi menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh dan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Selain itu, tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdekatan.

Kes ditangguh sehingga 8 November depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN