PUTRAJAYA: Penggunaan visa pelancong dalam kalangan warga asing dikenal pasti antara punca utama berlakunya kegiatan ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2).
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penyalahgunaan visa pelancong bertujuan untuk bekerja secara haram ini dikenal pasti sangat berleluasa dan membuka peluang kepada warga asing masuk bekerja di negara ini.
Katanya, bayaran yang dikenakan sindiket kepada kumpulan warga asing yang ingin memohon permit kerja ke negara ini adalah lebih RM6,000 sehingga RM12,000 dengan menggunakan saluran yang tidak sah.
Jelasnya, kumpulan warga asing khususnya daripada Bangladesh, Nepal, Myanmar dan beberapa negara lain datang ke negara ini tidak menggunakan sistem sedia ada.
Sebaliknya, katanya, mereka menyalahgunakan visa pelancong masuk ke negara ini kononnya bertujuan untuk melancong tetapi hakikatnya ialah untuk bekerja secara haram di negara ini.
“Ini merupakan modus operandi yang membuka kepada kegiatan counter setting di mana sindiket membayar wang rasuah dengan nilai tertentu kepada penguat kuasa seterusnya menyebabkan berlakunya isu warga asing yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh sah.
“Ini termasuk kesalahan bekerja tanpa permit kerja yang sah dan mengelak senarai hitam (blacklist) dalam negara,” katanya hari ini.
Sumber memberitahu, sindiket ini tidak menggunakan sistem pengurusan berpusat pekerja asing iaitu Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang mendaftar dan memantau pekerja asing di negara ini.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara ini. – UTUSAN