Salah guna harta syarikat: Penyelia keselamatan mengaku tak bersalah

Salah guna harta syarikat: Penyelia keselamatan mengaku tak bersalah

SEORANG penyelia keselamatan tapak bina (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat berjumlah RM5,000, dua tahun lalu.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang penyelia keselamatan tapak bina dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat berjumlah RM5,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ku Muhamad Alif Ezham, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta syarikat iaitu wang berjumlah RM5,000 untuk kegunaan sendiri pada 26 April 2022.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di PLB Green Construction Sdn. Bhd., Menara BHL Bank, Jalan Sultan Ahmad Shah dalam daerah Timur Laut, George Town.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun selain dikenakan sebatan dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM setiap awal bulan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Nur Syahana Ismail memohon agar jaminan ditetapkan sebanyak RM5,000 dengan memberi alasan tertuduh perlu menyara ibu, isteri dan seorang anak.

Malah, tertuduh dikatakan masih bekerja dengan majikan sama selain sedang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah ekoran sakit tulang belakang yang dialaminya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon selain menetapkan 29 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN