Sal Priadi kembali hiburkan peminat melalui Sal Priadi Zuzuzaza Live In KL - Utusan Malaysia

Sal Priadi kembali hiburkan peminat melalui Sal Priadi Zuzuzaza Live In KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Sal Priadi abakal mengadakan konsert, Sal Priadi Zuzuzaza Live In KL, sebagai petanda berakhirnya jelajah pertamanya setelah mengadakan konsert di lima kawasan di Indonesia pada 13 Oktober di Zepp, Kuala Lumpur.

Menurut Sal Priadi, konsert yang bakal diadakan dijamin akan membawa penonton melalui perjalanan yang beremosi dan mengujakan.

“Ini merupakan kali pertama saya membuat persembahan secara besar-besaran di Indonesia dan Malaysia dalam siri jelajah ini dan lagu-lagu yang dimainkan akan diambil dari album kedua saya Markers & Such Pens Flashdisks.

“Lagu ini tentang membuat bunyian yang menghidupkan semangat kreativiti bahawa semua orang berhak mencipta sesuatu yang diingininya jika dia betul-betul yakin,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, penyanyi lagu Gala Bunga Matahari itu turut berkonsi bahawa konsert di Kuala Lumpur ini membawa makna yang tersendiri kepada dirinya dan akan menampilkan kelainan daripada konsertnya yang lain.

“Saya sempat membuat persembahan di Kuala Lumpur pada tahun lepas dan merasakan pengalaman membuat persembahan di sini, jadi bagi album kedua ini saya harus membawa dan berkongsi bersama peminat di Kuala Lumpur.

“Kalau dahulu saya hanya membuat persembahan selama satu jam, kini penonton berpeluang menyaksikan saya beraksi selama dua jam dengan hampir 20 buah lagu kesemuanya yang diambil dari album pertama dan kedua saya. Persembahan kali akan berbeza dengan konsert yang sebelumnya.

“Penonton konsert juga bakal berpeluang menyaksikan paparan audio visual yang kreatif, dengan konsep artistik yang dirancang khas untuk mencerminkan corak dari lagu-lagu yang dinyanyikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, konsert itu merupakan usaha syarikat dalam membawakan hiburan secara langsung dan istimewa buat peminat muzik di Malaysia.

“Konsert ini merupakan peluang unik bagi peminat di Malaysia untuk menyaksikan persembahan secara langsung dari salah seorang bintang muzik paling menonjol dalam industri muzik Indonesia.

“Kami teruja untuk mempersembahkan Sal Priadi di sini kerana mampu untuk membawa peminatnya melihat dengan lebih dekat. Kami juga yakin ia akan menjadi malam yang penuh dengan keajaiban dan kenangan indah.

“Peminat-peminat Sal Priadi dinasihatkan untuk mendapatkan tiket-tiket istimewa ke konsert ini dengan kadar yang segera kerana tempat adalah terhad,” ujarnya.

Untuk info, harga tiket bermula daripada RM188 sehingga RM4000 dan sudah boleh mula dibeli di lawati laman web www.ticket2u.com.my/sal-priadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN