PETALING JAYA: Pelakon, Sabri Yunus, 63, memaklumkan dia sentiasa menambah baik kefahaman ilmu agama Islam sebelum mendidik isterinya, Angeline Tan, 57, mengenai hal berkenaan.
Kata pelakon drama Pok Ya Cong Codei itu, usaha itu perlu bagi memastikan isterinya menerima didikan dan mendapat kefahaman sebenar mengenai Islam.
“Sebagai suami, saya wajib buat kajian terlebih dahulu, dan itulah yang saya lakukan selepas mengahwini Angeline. Sebelum itu saya tak berani ulas tentang agama kerana saya tahu perkara ini sensitif. Jadi saya amat menjaga perkara itu.
“Sebagai saudara baharu, Angeline tentunya banyak bertanya mengenai agama.Daripada situ saya kaji untuk jawab segala persoalannya. Saya juga bertuah kerana adik saya seorang ustaz, jadi saya juga banyak merujuk soal agama kepada dia.
“Sebagai suami, saya kena bersedia dengan ilmu agama supaya saya mampu membimbing isteri. Tapi, saya juga kena berhati-hati dengan ilmu yang saya kongsikan supaya selari dengan ilmu agama yang betul,” katanya.
Sabri berkata demikian semasa sidang akhbar rancangan terbaharu terbitan TV AlHijrah, Angeline Tanya Abang Jawab, semalam.
Rancangan soal jawab agama yang bakal bersiaran pukul 8.30 malam setiap Rabu pada 18 September 2024 itu menampilkan pasangan suami isteri tersebut.
Dalam pada itu, Sabri juga memaklumkan prihatin dan memilih kaedah perkongsian ilmu agama yang lebih mudah dan sesuai dengan kapasiti Angeline yang merupakan saudara baharu.
“Bagi memastikan isteri tidak terbeban dan mendapat kefahaman yang betul, adakalanya saya kongsikan ceramah-ceramah agama dan penjelasan ustaz yang sesuai untuk dia.
“Terlebih dahulu, penting untuk saya kenalkan kepada dia tentang konsep tauhid dan ketuhanan yang satu, dan konsep amalan-amalan dalam Islam sebelum mendalami perkara-perkara selanjutnya,” jelasnya.