Sabari dibunuh, mayat mangsa belum ditemui - Utusan Malaysia

Sabari dibunuh, mayat mangsa belum ditemui

ANGGOTA bomba membantu polis melakukan operasi mencari mayat Sabari Baharom (gambar kecil) yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Misteri kehilangan pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, di Baling akhirnya terungkai apabila polis memberkas dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat membunuh mangsa.

Dalam kejadian itu, Sabari dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu.

“Ekoran perkembangan kes orang hilang, Polis Kedah berjaya mengesan dan memberkas dua suspek lelaki yang disyaki dapat membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek bahawa mangsa telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap. Sehingga kini mangsa masih gagal dijumpai dan usaha mencari masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Fisol berkata, siasatan yang dilakukan melibatkan kes orang hilang melibatkan mangsa kini dilanjutkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau, polis juga telah memaklumkan perkembangan siasatan kepada keluarga mangsa.

“Semua pihak dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Sebaliknya orang ramai diminta untuk membantu dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis,” katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Sabari yang juga bekas pegawai kewangan Felcra didapati hilang sejak 4 September lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan itu dianggap misteri oleh ahli keluarganya kerana kereta Proton Waja milik mangsa ditemui dibakar di kawasan pembuangan sampah di gaung Hutan Gubir, Sik, Jumaat lalu namun mangsa tiada.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun Tabung Haji lelaki itu ke akaun bank orang lain dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya.

Pelbagai usaha mencari telah dilakukan oleh ahli keluarga namun sehingga kini Sabari masih gagal dikesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN