Sabah tuntut 40% hasil bukan digula-gulakan hanya RM600j - Ronald 

Sabah tuntut 40% hasil bukan digula-gulakan hanya RM600j – Ronald 

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan digesa mendedahkan jumlah cukai  dikutip dari Sabah bagi membolehkan  pengiraan pemberian hasil negeri sebanyak 40 peratus dilakukan secara lebih tepat dan telus kepada negeri ini.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ini kerana,  Persekutuan perlu mengikut perkiraan memberi semula 40 peratus hasil negeri kepada Sabah seperti yang  termaktub di dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan ini adalah peruntukan tetap yang dikira daripada jumlah cukai keseluruhan yang dikutip di Sabah yang perlu diserah kepada Persekutuan. Semakin besar kutipan cukai ini, maka, semakin besar pemberian 40 peratus yang perlu diterima oleh Sabah.

“Sambutan Hari Malaysia 2024 menyaksikan Sabah menjadi tuan rumah bukan sahaja menandakan simbol kebersamaan, perpaduan, toleransi serta keharmonian seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang kaum dan agama, tetapi amat signifikan dalam konteks sejarahnya. 

“Dari perspektif Sabah, sudah pastinya sambutan ini juga menjadi detik mengingatkan tentang hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipersetujui bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Pada 12 September lalu, kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024 mengumumkan pemberian khas interim berjumlah RM600 juta kepada Sabah bermula 2025.

Mengulas lanjut, kata Ronald, tindakan  Persekutuan yang hanya menaikkan nilai pemberian interim khas daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta pada 2025, tidak menyelesaikan perkara utama iaitu mengembalikan semula peruntukan wajib 40 peratus kepada Sabah selaras perlembagaan. 

Katanya, pemberian khas RM600 juta mesti berdasarkan nilai kutipan cukai yang dikenal pasti yang mana kutipan cukai Sabah kini sudah mencapai suatu nilai yang lebih besar daripada jangkaan sebenar. 

“Tanpa mengetahui nilai sebenar kutipan cukai, maka pemberian khas interim RM600 juta ini hanyalah gula-gula politik kepada rakyat Sabah. Manis tetapi rasanya sekadar di hujung lidah, sedangkan kemanisan sebenar adalah pemberian yang tetap dan lebih besar,” katanya. 

Susulan itu, beliau menggesa Persekutuan dan Sabah mengakui bahawa bayaran interim ini tidak mencerminkan kedudukan pemberian tetap 40 peratus kepada negeri itu. 

“Selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan sempena hari Malaysia, bayaran interim khas perlu ditukar kepada bayaran tetap 40 peratus mengikut Perlembagaan,” katanya. 

Katanya, kerajaan Persekutuan tidak boleh memberi alasan dan berdalih sebaliknya kena  menghormati Perlembagaan Persekutuan dan melaksana peruntukan yang termaktub kepada rakyat Sabah.

“Bagi rakyat Sabah pemberian interim ini bukan penyelesaian malahan ia lebih bersifat tidak menghormati kedudukan  Sabah sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan.  

“Seharusnya keberadaan Sabah dalam Malaysia dihormati dan dilayan sebagai rakan kongsi yang setara dalam semua aspek termasuk dalam soal perolehan pembangunan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN