SA Sentral bakal menjadi nama baharu yang akan tersemat dalam hati warga Shah Alam terutama kepada belia atau generasi muda apabila bandar raya itu melalui proses rejuvenasi bermula pada pelancarannya, Jumaat lalu.
Ia merupakan pembangunan semula pusat bandar yang usianya sudah pun menjangkau separuh abad dan memerlukan pembaharuan bagi memberi nilai tambah kepada aktiviti komersial, pelancongan, budaya dan gaya hidup.
Antara elemen penting dalam pembangunan tersebut termasuklah keterhubungan antara bangunan-bangunan utama di Bandar Raya Shah Alam yang akan bergelar SA Sentral seperti Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, Pusat Konvensyen Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS. Pembangunan ini adalah pembangunan bercampur berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit atau Transit Oriented Development (TOD), di mana semua bangunan akan dihubungkan di antara satu sama lain.
Malah, ketersambungan itu turut dijana dengan kemudahan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang dijangka siap pada suku ketiga 2025 melalui Stesen Dato’ Menteri di pusat bandar Shah Alam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, SA Sentral dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3bilion dilaksanakan melalui kerjasama antara PKNS dengan rakan-rakan strategik melalui memorandum persefahaman (MOU) MBSA, Amverton Prop Sdn Bhd, TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC), KRU Entertainment Sdn Bhd dan Ikano Handel Sdn Bhd (IKEA).
“Kita tengok sudah ada lima rakan strategik, sebahagiannya adalah syarikat swasta dan satu agensi. Seperti KRU, Amverton Prop dan lain-lain selepas MBSA.
“Saya alu-alukan kehadiran syarikat-syarikat (rakan strategik) kerana ia akan dapat membangunkan bersama-sama SA Sentral dan mengubah kepada sebuah kota yang lebih vibrant, menarik dan betul-betul dapat didiami oleh semua anak muda, pesara dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran SA Sentral di Galeria SA Sentral, Jumaat lalu.
SA Sentral akan memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan baharu, tarikan pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Pembangunan ikonik daripada PKNS itu bertujuan untuk mentakrifkan semula Shah Alam, ibu negeri Selangor sebagai destinasi setaraf dengan Kuala Lumpur dan kawasan pusat perniagaan lain, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Jelas Amirudin, menerusi pembangunan semula pusat bandar ikonik itu, pengangkutan awam dan keterhubungan dengan kawasan-kawasan membangun yang lain adalah elemen penting dan ia turut menjadi sebahagian daripada pembangunan Lembah Klang Raya (Greater Klang Valley).
“Transit Bas Rapid (BRT) akan jadi salah satu elemen penting di sana dan juga keperluan seperti bas awam dan sebagainya akan dipertingkatkan sebagaimana dipanggil first mile dan last mile,” jelasnya.
Malah, beliau memaklumkan SA Sentral juga dihubungkan dengan antara bandar-bandar utama seperti Klang, Subang Jaya dan Petaling Jaya serta Kuala Lumpur dalam pembangunan Lembah Klang Raya.
“Ia tidak hanya tertumpu di satu kawasan, kita akan tertumpu juga di Petaling Jaya, Subang. Subang sudah pasti sekarang sedang membangun dan dianggap sebagai paling muda antara ketiga-tiga bandar raya dan Klang.
“Macam saya sebut, falsafah pembangunan yang saya terapkan, bukan hanya menumpu dekat sesuatu kawasan sebaliknya melebarkan pembangunan di semua kawasan dengan keunikan setiap tempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan SA Sentral berpotensi menjadi pusat kecerdasan buatan (AI) apabila pembangunan semula kawasan itu dimasukkan ciri-ciri teknologi tersebut sesuai dengan perkembangan terkini dan keperluan masa hadapan.
“Kita mengakui akan kemasukan NVIDIA dan banyak elemen lain, mereka bukan hanya datang sini sebagai pengilang dan sebagainya, jadi kemudahan itu (AI) harus digunakan di bandar atau di kawasan pembangunan baharu.
“Sudah pasti pusat AI akan menjadi kunci untuk menghubungkan elemen-elemen (dalam SA Sentral), beberapa unit kita seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Perbadanan Ekonomi Digital dan Teknologi Maklumat Selangor (SIDEC) sebenarnya sedang bekerja keras untuk menubuhkan pusat AI,” ujarnya.
Justeru, MBSA sebagai agensi kerajaan diyakini berkeupayaan membantu pembangunan SA Sentral melalui perancangan bandar dalam disiplin pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral akan dijadikan sebagai nadi kepada bandar raya itu selain memangkin transformasi bandar yang pembangunannya membentuk komuniti dengan menemukan perniagaan, budaya serta gaya hidup.
“Bandaraya Shah Alam sudah lama kekurangan daya tarikan yang memikat untuk generasi muda. Dengan SA Sentral, PKNS berusaha mengisi jurang ini dengan membangunkan semula Bandaraya Shah Alam.
“Agar sesuai dengan keperluan serta kehendak trend pasaran semasa dan menjadikannya destinasi pilihan bagi golongan profesional muda, keluarga dan perniagaan,” katanya. – UTUSAN