RUU Mufti Wilayah Persekutuan: Bacaan kedua, ketiga Oktober depan

RUU Mufti Wilayah Persekutuan: Bacaan kedua, ketiga Oktober depan

MOHD. Na'im Mokhtar (dua kanan) meluangkan masa melihat keadaan rumah penerima bantuan YaPEIM Cindy Mysara Hoo Abdullah menerusi Program Sinar Lestari di Kampung Pulau Pisang, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 akan diteruskan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober depan untuk bacaan kali kedua dan ketiga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pembentangan kali kedua itu akan dilakukan pada 16 Oktober ini.

Menurut beliau, setakat ini RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 itu telah dibaca dan dibentangkan untuk kali pertama di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu.

“Segala keputusan berhubung RUU berkenaan akan dibuat selepas persidangan tersebut dan dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara. RUU Mufti masih lagi status yang sama seperti mana yang disebut pada sidang parlimen sebelum ini, kita hanya buat bacaan pertama.

“Insya-Allah perancangan kita sekitar 16 atau 17 Oktober ini kita rancang untuk meneruskan bacaan kali kedua dan ketiga. Kita mohon perjalanan pembentangan ini dipermudahkan,” katanya selepas Penyerahan Program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Negeri Kelantan Darul Naim di sini hari ini.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 merangkumi RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti itu juga menyenaraikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Selain itu, ia mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain iaitu Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, manakala dari segi tasawuf pula, RUU Mufti berpegang dengan Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

RUU itu mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk beberapa mufti, pengamal undang-undang, termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) apabila Presidennya, Musa Awang menegaskan sebarang usaha meletakkan mahkamah syariah kepada satu anjakan paradigma perlu disokong semua pihak, terutama Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Pas mahu RUU Mufti dikaji secara mendalam dengan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ia berikutan dalam Islam terdapat berpuluh mazhab.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN