Runtuhan tebing: Bomba kesan masih ada rekahan di kawasan loji Taman Mas

Runtuhan tebing: Bomba kesan masih ada rekahan di kawasan loji Taman Mas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan terdapat rekahan di kawasan pembinaan projek loji rawatan air berhampiran Idaman BSP Taman Mas Puchong, dekat sini susulan runtuhan tebing sungai semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bagaimanapun keadaan di lokasi ketika ini adalah terkawal.

“Pasukan bomba menjalankan pemantauan berkaitan arahan untuk henti kerja yang dikeluarkan sebelum ini di lokasi berkenaan.

“Setakat ini lokasi kejadian terkawal, namun masih ada rekahan dikesan akibat pergerakan tanah susulan kejadian ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku semalam tidak melibatkan mangsa.

“Semua pekerja didapati keluar dari tapak pembinaan, pasukan bomba turut dimaklumkan bahawa proses runtuhan tebing mengambil masa kira-kira 20 minit.

“Kejadian dipercayai bermula dengan bunyi akibat pergerakan tanah sebelum siren diaktifkan untuk mengeluarkan kesemua pekerja ke tempat selamat,” jelasnya.

Menurut beliau, punca kejadian masih dalam siasatan.

Terdahulu, Gamuda Berhad dalam kenyataan memaklumkan, semua kerja pembinaan di tapak projek bekalan air itu dihentikan sementara bagi menilai keadaan dan melaksanakan protokol keselamatan tambahan.

Menerusi kenyataan itu, pihaknya turut memaklumkan tiada kecederaan dialami oleh pekerja pembinaan mahupun orang awam dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 2 petang itu.

Semalam, tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) dilaporkan runtuh menyebabkan limpahan air sungai memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan projek itu di Taman Mas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN