Rumah Selangorku Morib, kerajaan negeri masih berbincang dengan KPKT - Utusan Malaysia

Rumah Selangorku Morib, kerajaan negeri masih berbincang dengan KPKT

Rumah Selangorku Morib
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kerajaan Negeri meneruskan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyelesaikan isu projek Rumah Selangorku dekat Kampung Tali Air, Morib di sini yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan positif antara kedua-dua pihak berlaku, namun perinciannya belum dimuktamadkan.

“Kita selesaikan isu pokok dan yang lain-lain kita akan tengok balik. Sebab ia melibatkan banyak perkara, antaranya syarikat yang terpaksa digulung, syarikat pengganti yang hendak buat.

“Banyak perkara perlu dibuat, kalau kita hendak janji semua, macam boleh tetapi kita kena dapatkan semua kira-kira supaya situasinya menang-menang,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Jelasnya, isu rumah terbengkalai akan diselesaikan dahulu sebelum melihat bebanan yang sudah ditanggung oleh pembeli termasuk bayaran bulanan pinjaman perumahan dilunaskan mereka sejak dua tahun lalu.

“Kita selesaikan dahulu pembinaan rumah, pasal bayaran bulanan itu nanti. Sebab kalau kita tidak selesaikan isu pembinaan rumah apa intervensi yang dibuat seperti bayaran bulanan semua itu nanti akan kurang bernilai,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dua projek Rumah Selangorku itu masih gagal disiapkan menyebabkan lebih 500 pembeli belum dapat menduduki rumah tersebut walaupun ansuran bulanannya sudah dibayar sejak lebih dua tahun lalu.

Malah, projek yang didakwa sepatutnya siap sekitar 2020 dan 2022 itu tiada tanda-tanda kerja pembinaan diteruskan selepas beberapa kali aduan dibuat kepada wakil rakyat termasuk kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Amirudin meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membuat siasatan terhadap isu keretakan rumah pangsa Taman Keramat Permai akibat mendapan tanah.

“Keramat Permai kita akan tengok balik situasinya sebab sebelum ini pernah berlaku dan kita minta untuk PKNS tengok sendiri bagaimana pergerakan, kadang-kadang pergerakan itu di bahagian luar, tetapi biar pihak terbabit siasat dahulu apa yang berlaku.

“Itu adalah bangunan yang dibina sejak 1980-an, sudah pasti ada banyak benda yang kita hendak tengok,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya