Rujuk pihak berkuasa agama kegiatan keagamaan meragukan - Utusan Malaysia

Rujuk pihak berkuasa agama kegiatan keagamaan meragukan

SAARANI Mohamad (tengah) pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Masyarakat Islam di negeri ini perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama peringkat daerah dan negeri jika terdapat perkongsian atau kegiatan keagamaan yang meragukan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, rakyat perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa negeri serta tidak membuat andaian dan tindakan sendiri.

“Kena rujuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). Rakyat boleh terus rujuk misalnya di peringkat bawah ada PTA (Pegawai Tadbir Agama). Ataupun di peringkat negeri kita ada Pengarah Jabatan Agama Islam. Atas lagi ada Mufti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak di sini hari ini.

Saarani yang memegang portfolio Agama negeri turut menasihati orang ramai berhubung penyebaran hadis-hadis atau fatwa palsu menerusi aplikasi perhubungan seperti Whatsapp terutama perkongsian berunsur ugutan yang meminta sesuatu maklumat itu perlu dikongsikan kepada orang lain.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri sudah mengesan beberapa ajaran sesat di negeri ini yang beroperasi di daerah tertentu dan sedang memantau kegiatan terbabit.

Sebelum ini dilaporkan, pihak berkuasa negeri sedang bekerjasama untuk menangani ajaran sesat Millah Abraham yang didakwa bergerak di Perak selain pelbagai dakwaan lain dalam media sosial.

Saarani berkata, unit di bawah JAIPk akan membuat kajian, memantau serta soal jawab dan jika mendapati anda unsur-unsur ajaran sesat, maka laporan akan dibuat.

“Kita tidak menghebohkan apa sedang kita buat. Memang kita ada memantau beberapa tempat, beberapa kawasan yang ada unsur-unsur ajaran sesat yang menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kita tak dapat nak hebahkan benda itu takut orang lari ataupun kadang-kadang orang berselindung di sebalik kerja-kerja itu lari. Jadi sebab itu kita buat secara hikmah, secara rahsia dan saya tak dapat menafikan bahawa memang ada (ajaran sesat di Perak),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN