HULU TERENGGANU: Kira-kira 10 pekebun di Kampung Belukar Bukit dekat sini, berdepan kerugian RM50,000 selepas kebun kelapa sawit dan pisang mereka musnah diserang gajah liar sejak seminggu lalu.
Kejadian turut menimbulkan ketakutan kepada penduduk memandangkan pergerakan haiwan tersebut semakin hampiri kawasan perumahan.
Seorang pekebun, Abdul Sani Ismail, 58, berkata, berdasarkan kesan tapak kaki, dipercayai terdapat dua ekor gajah liar yang menceroboh kawasan kebun terutama tanaman kelapa sawit dan pisang.
“Kedua-dua ekor gajah dewasa ini bergerak asing di kawasan pertanian hampir setiap malam sejak seminggu lalu. Ada juga dalam kalangan penduduk terserempak haiwan ini di sekitar jalan pada waktu malam.
“Kebun kelapa sawit saya seluas kira-kira 2.5 hektar turut menjadi sasaran dalam kejadian Sabtu lalu. Saya terkejut melihat hampir 30 pokok sawit berusia dua hingga tiga tahun rosak.
“Sepanjang enam tahun usahakan kebun di kawasan ini, kejadian begini kali pertama dihadapi sehingga terpaksa tanggung kerugian kira-kira RM10,000 gara-gara gajah liar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi pekebun, Zamri Mohd. Shakri, 45, berkata, dia kerugian kira-kira RM4,000 akibat pencerobohan gajah liar ke kawasan tersebut.
“Keadaan ini amat menggusarkan apatah lagi pendapatan majoriti penduduk di sini bergantung penuh melalui hasil pertanian. Pekebun lain juga susah hati dan khuatir alami nasib sama.
“Kali terakhir kehadiran gajah liar musnahkan tanaman hampir dua tahun lalu, kali ini ia berulang. Kami juga bimbang soal keselamatan diri.
“Pihak berkenaan telahpun turun padang memantau selepas aduan dibuat. Cuma kita harapkan langkah sewajarnya yang lebih agresif dapat dilakukan bagi mengelak kejadian berulang,” katanya. – UTUSAN