Rogol dalam kereta:  2 lelaki dipenjara 11 tahun, 2 sebatan

Rogol dalam kereta:  2 lelaki dipenjara 11 tahun, 2 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dikenakan dua sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari kerana merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam sebuah kereta, Mei tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap pemandu lori, B. Satia, 27, dan rakannya T. Khanesen, 31, (penyelia tapak pembinaan) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Beliau berpuas hati bahawa perintah bon berkelakuan baik yang dimohon kedua-dua tertuduh adalah tidak wajar dan tidak sesuai diberikan.

Terdahulu, peguam Muhammad Amin Abdullah dan K. Ponnusamy, masing-masing mewakili Satia dan Kanesen memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik mengambil kira faktor kedua-dua  tertuduh merupakan penanggung utama keluarga dan pesalah kali pertama.

“Kami juga memohon satu penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi,” kata Ponnusamy.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin membantah permohonan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kerana  jenayah rogol merupakan kesalahan yang serius.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh supaya mereka dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan. 

“Permohonan bon tidak terpakai bagi kesalahan serius seperti rogol.  Pendakwaan memohon hukuman pemenjaraan serta merta bagi menunjukkan penekanan masyarakat supaya pesalah dihukum dan yang paling penting bagi melindungi kaum wanita,” ujar Nur Aisyah.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM9,000 kepada RM11,000 bagi memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh pada prosiding akan datang.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh telah dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lalu.

Satia didakwa telah merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam kereta jenis Honda City di kawasan pusat hiburan di Jalan Tun Razak, Maluri di sini, pada jam 5.20 pagi, 13 Mei 2023.

Kanesen turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama, pada 5.06 pagi di tempat serupa.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN