Rogol, buruh etnik Rohingya dipenjara 24 tahun, empat sebatan

Rogol, buruh etnik Rohingya dipenjara 24 tahun, empat sebatan

ANGGOTA polis membawa lelaki Rohingya untuk didakwa atas dua pertuduhan merogol seorang remaja di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh etnik Rohingya dipenjara 24 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol seorang remaja tingkatan empat hingga hamil pada November dan April lalu.

Tertuduh, Mohd. Rashid Sidiq, 30, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa menggunakan bahasa Myanmar di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 16 tahun 2 bulan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Gunong, Bachok dekat sini kira-kira pukul 8 malam pada November 2023 dan pukul 8 malam pada April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon hukuman setimpal kerana kes tersebut sangat serius sehingga menyebabkan mangsa mengandung.

Tertuduh menerusi jurubahasanya iaitu Than Tin berkata, dia dan mangsa mengenali antara satu sama lain dan kejadian berlaku adalah suka sama suka.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun bermula hari ini dan dua sebatan untuk setiap pertuduhan. Hukuman penjara dan sebatan berjalan secara berasingan.

Mengikut fakta kes, mangsa mengadu sakit perut kepada ibunya semasa berada di rumah mereka di Gunong, Bachok pada 1 September lalu.

Remaja itu kemudian dibawa ke sebuah klinik di Peringat, Kota Bharu untuk dapatkan rawatan sebelum mendapati mangsa sudah hamil 21 minggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya