Rogol, amang seksual anak saudara, 3 lelaki dipenjara

Rogol, amang seksual anak saudara, 3 lelaki dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 29 tahun dan dikenakan 11 sebatan selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapatinya bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia 11 tahun, pada 2018.

Keterangan kes pendakwaan menyatakan, mangsa mengalami trauma sehingga cuba membunuh diri ekoran terdapat kesan-kesan kelar di pergelangan tangannya.

Hakim Mohd. Kafli Che Ali membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah terhadap lelaki berusia 45 tahun itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan empat sebatan bagi pertuduhan amang seksual serta penjara 17 tahun dan tujuh sebatan atas kesalahan merogol kanak-kanak perempuan itu.

Mahkamah memerintahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa secara berasingan bermula hari ini.

“Tertuduh turut diperintahkan menjalani sesi kaunseling selama setahun ketika dalam penjara serta pengawasan polis selama setahun,” kata Mohd Kafli.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa saudara, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di ruang tamu sebuah rumah di Jalan Pantai Dalam, Brickfields di sini pada 8 malam, Disember 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Dia juga didakwa merogol mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama dan dituduh mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan juga sebatan.

Dalam prosiding sama, dua adik lelakinya berusia 31 tahun dan 29 tahun, turut dipenjara 12 tahun dan tujuh tahun masing-masing selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama.

Mohd. Kafli turut memerintahkan kedua-duanya dikenakan sebatan empat kali dan dua kali masing-masing.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di tempat sama masing-masing pada pukul 7 malam, November 2019 dan 4 petang, Disember tahun sama.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon hukuman pemenjaraan dan sebatan maksimum dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan kesemua tertuduh.

“Dalam kes ini, mangsa mengalami trauma sehingga cuba membunuh diri apabila terdapat kesan-kesan kelar di pergelangan tangannya.

“Ketiga-tiga tertuduh mempunyai hubungan darah dengan mangsa yang sepatutnya dilindungi. Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dan sebatan maksimum serta hukuman penjara itu tidak berjalan serentak,” kata Noor Shakira.

Bagaimanapun, ketiga-tiganya yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menanggung ibu bapa mereka.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan iaitu ketiga-tiga tertuduh, memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada Mac lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya