KLANG: Kerja-kerja runtuhkan struktur utama Stadium Shah Alam bermula sejak Khamis lalu dan akan diteruskan pada minggu hadapan sebagai sebahagian proses daripada perobohan bangunan ikonik itu yang dijangka selesai sepenuhnya pada Mei 2025.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, proses tersebut dilakukan dengan teratur dan mengambil kira semua faktor bagi mengelakkan gangguan kepada penduduk setempat termasuk keselamatan serta masalah debu.
“Perkembangan terbaharu adalah dalam proses kerja-kerja meroboh dan baru-baru ini sudah lakukan perobohan major melibatkan bumbung di stadium dan dijangka dalam bulan Mei tahun depan akan selesai sepenuhnya kerja-kerja perobohan.
“Kerja perobohan memang sudah mula lama, cuma (yang melibatkan struktur utama) baru-baru ini kita ada buat perobohan yang agak besar melibatkan struktur bumbung stadium. Ia akan diteruskan lagi pada minggu hadapan, cuma yang kita sasarkan menjelang Mei 2025, akan selesai prosesnya,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu, kerja-kerja pembinaan semula stadium berkenaan akan dilaksanakan secara berserentak dengan perobohan.
“Proses tersebut kita cuba lakukan concurrently untuk mulakan kerja-kerja pembinaan semula tetapi itu bergantung kepada tahap atau proses perobohan tersebut,” jelasnya.
Stadium ikonik yang merupakan rumah kepada pasukan The Red Giants itu mula dirobohkan pada awal Julai lalu bagi memberi laluan kepada pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).
Pembangunan semula KSSA di Seksyen 13 itu melibatkan komponen-komponen utamanya seperti Stadium Mini, Stadium Malawati (stadium tertutup) dan kompleks renang.
Kompleks sukan yang baharu nanti akan mengandungi pelbagai kemudahan termasuk hotel dan pusat beli-belah yang bersambungan dengan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT).
Dalam pada itu, Mohd. Najwan memberitahu beliau terus menerima komen-komen bersifat sentimental daripada orang ramai termasuk dalam media sosial berhubung kenangan hampir 30 tahun Stadium Shah Alam.
“Ada komen bersifat sentimental terhadap Stadium Shah Alam. Bahkan saya sendiri pun ada nilai sentimental sendiri di Stadium Shah Alam, saya anak Selangor dan menyaksikan pelbagai peristiwa berlaku di sana.
“Walau bagaimanapun kita kena terus melangkah, ia bersesuaian dengan keperluan semasa dan ia perlu dibina semula untuk meneruskan kelangsungan pembangunan sukan di Selangor,” ujarnya. – UTUSAN