RM13 juta bantuan pasca banjir Kedah - PM

RM13 juta bantuan pasca banjir Kedah – PM

ANWAR Ibrahim bertanya khabar mangsa banjir yang berlindung sementara di PPS SMK Agama Kedah, Alor Setar ketika mengadakan lawatan mengejut mangsa banjir di Kedah, semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninjau situasi banjir di negeri ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM13 juta bagi pembaikan infrastruktur yang rosak akibat bencana itu sejak Isnin lalu sehingga 7,947 orang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Perdana Menteri berkata, sumbangan pasca banjir sebanyak RM10 juta itu juga akan digunakan bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas.

Katanya, sebanyak RM3 juta khusus untuk pemulihan infrastruktur di daerah Kota Setar yang paling teruk terjejas sehingga menyebabkan 3,000 mangsa berpindah ke PPS.

Menurut beliau, situasi banjir di negeri ini dalam keadaan terkawal dan diharapkan keadaan kembali pulih seperti sedia kala dengan segera.

“Saya minta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk selaraskan hal ini supaya disegerakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut mangsa banjir di PPS, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah yang menempatkan mangsa banjir di sekitar daerah ini.

Perdana Menteri turut meminta agensi berkaitan menyegerakan semua bentuk bantuan kepada rakyat terutama pesawah padi yang terkesan dengan banjir.

“Bantuan terus untuk mangsa banjir kita sudah mula sampaikan dan saya dengar Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebut daripada kerajaan negeri pun ada bantuan.

“Tetapi yang penting kerosakan, kerugian bidang penternakan, hasil tanaman yang kita harus teliti dan cuba ringankan beban ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut mengarahkan projek-projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di negeri ini tidak berlaku kelewatan kerana ia boleh mengurangkan impak banjir apabila siap kelak.

Terdahulu, ketika mengadakan lawatan di PPS Stadium Sultan Abdul Halim, Anwar turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Pusat menerusi Nadma (RM1,000) dan ICU (RM1,000) kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan dengan bencana banjir di Kedah.

Beliau yang tiba pada pukul 11.15 pagi di PPS itu meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar kepada mangsa banjir yang menempatkan 646 penduduk Kota Setar.

Perdana Menteri mengadakan lawatan mengejut ke Kedah semalam ekoran bencana banjir yang melanda negeri ini sejak Isnin lalu semakin buruk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN