RM1.02 juta subsidi tambang bas sekolah murid SJKT di Selangor - Utusan Malaysia

RM1.02 juta subsidi tambang bas sekolah murid SJKT di Selangor

Bas sekolah
V. Papparaidu bersama ibu bapa dan murid SJK(T) Sungai Renggam yang menerima subsidi tambang bas sekolah pada Majlis Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Penghargaan Tokoh Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Selangor 2024 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 3,462 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil di negeri ini menerima subsidi tambang bas sekolah berjumlah RM1.02 juta sumbangan Kerajaan Negeri Selangor.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata, subsidi berkenaan diberikan secara sekali bagi meringankan beban ibu bapa untuk menggunakan perkhidmatan bas sekolah anak mereka.

“Jumlah peruntukan tersebut pada tahun ini adalah sama seperti tahun lalu, namun murid yang menerima subsidi tersebut adalah berbeza, kerana ingin memberi peluang kepada murid lain mendapat subsidi itu.

“Kalau mengikut pecahan, setiap murid akan menerima jumlah subsidi RM300 setahun untuk tujuan membayar tambang,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Penghargaan Tokoh Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Selangor 2024.

Dalam majlis itu, seramai lima orang bekas guru menerima anugerah tokoh guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, dengan masing-masing menerima sekeping sijil penghargaan dan wang RM500.

Dalam pada itu, Papparaidu meminta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) daripada 89 buah sekolah jenis itu yang menerima cek subsidi tersebut untuk segera mengagihkan duit subsidi kepada murid sekolah yang layak menerima subsidi berkenaan.

Ujarnya, ibu bapa murid berkenaan terdesak untuk menggunakan wang tersebut bagi kegunaan membayar tambang bas sekolah, yang kian meningkat saban tahun.

“Harap pihak PIBG dan LPS dapat agihkan duit mulai Isnin ini. Saya terima banyak panggilan daripada ibu bapa yang terdesak mahukan duit itu segera.

“Saya juga berharap ibu bapa gunakan duit tersebut dengan sebaik mungkin. Saya akui RM300 itu tidak cukup, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya