PETALING JAYA: “Percayalah, di sebalik ujian itu ada ‘hadiah’ manis yg Allah berikan.”
Demikian kata pelakon, Rita Rudaini selepas diiktiraf sebagai penerima Anugerah Ibu Ikon sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
Menurut Rita, dia akan terus memberikan inspirasi kepada para wanita yang turut dianggap sebagai ikon.
“Terima kasih Ikon Malaysia untuk Anugerah Ibu Ikon 2024/2025 sempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.
“Saya akan terus memberi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana. Kita semua wanita kuat. Kita semua adalah ikon,” katanya dalam sebuah hantaran di Instagram.
Dalam perkongsian lain, Rita sempat berpesan kepada para wanita yang melalui nasib yang sama sepertinya untuk terus kuat mengharungi cabaran hidup demi anak-anak.
Meskipun tidak mudah melalui ujian, Rita percaya setiap wanita mempunyai kekuatan tersendiri untuk mendidik anak-anak yang dianggap hadiah manis dari Sang Pencipta.
“Tidak mudah walaupun ada di antara kita berlainan latar belakang, tapi ujian dan rasa itu tetap sama. Tapi percayalah, di setiap semua itu bukanlah kesusahan.
“Tapi itulah ujian untuk yang terpilih. Dan percayalah, di sebalik ujian itu ada ‘hadiah’ manis yang Allah berikan iaitu ‘anak’. Jagalah, sayangilah dan didik lah mereka kerana Allah,” katanya.
Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak Aidil Zafuan pada 2008.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15 danAirit Qaqa Arjuna, 13.
Namun, perkahwinan itu berakhir dengan penceraian pada September 2013. -UTUSAN