PUCHONG: Pemimpin pembangkang seolah-olah tidak nampak kedudukan ringgit yang sedang mengukuh apabila mengambil pendekatan berdiam diri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin-pemimpin pembangkang dilihat gemar mengkritik apabila ringgit melemah dan membisu apabila mata wang negara mengukuh.
Kata beliau, keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) melakukan pemotongan kadar faedah telah memberi laluan kepada penguatan ringgit.
“Alhamdulillah, (ringgit) lebih baik, walaupun kadang-kadang rakan kita di sebelah sana (pembangkang) tidak nampak.
“Apabila ringgit melemah, dia hentam dan caci kita berterusan (tetapi) bila (ringgit) menguat (dia diam). Kita kata alhamdulilah, jadi cukup setakat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Anwar hadir ke Masjid Darussalam bagi menunaikan solat Jumaat selepas menjamu selera di Warung Maju D’Salam di sini.
Media melaporkan, ringgit mencapai paras tertinggi dalam 19 bulan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam ketika para pedagang menimbang kemungkinan pemotongan kadar faedah yang besar oleh Fed.
Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit dibuka pada 4.2580/2680 berbanding dolar AS sebelum mengakhiri dagangan lebih kukuh pada 4.2410/2490.
Kebanyakan mata wang di pasaran Asia yang sedang pesat membangun meningkat pada Rabu apabila dolar AS melepaskan sebahagian daripada keuntungannya semalam, manakala ekuiti di rantau ini juga meningkat. – UTUSAN