GEORGE TOWN : Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang bermula esok diharapkan dapat membuatkan perokok atau penghisap vape lebih berhati-hati jika ingin merokok di premis awam terutamanya di restoran nasi kandar.
Pengurus Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, kesemua cawangan Restoran Hameediyah merupakan lokasi larangan merokok dan pihak pengurusan juga tidak menjual produk nikotin di Restoran Hameediyah ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, terdapat segelintir perokok dan penghisap vape yang tidak mengendahkan larangan merokok yang dipaparkan di restoran berkenaan.
“Restoran kami telah lama pamerkan larangan merokok di premis dan kami juga tidak menjual produk nikotin di kaunter.
“Namun, ada pelanggan yang masih mahu merokok serta tidak endahkan larangan ini. Mereka tetap merokok di luar premis atau di kaki lima premis.
“Jadi, kami berharap dengan penguatkuasaan Akta 852 ini, perokok akan lebih berhati-hati dan mematuhi larangan sekiranya ingin merokok di premis kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Akta 852 akan dikuatkuasakan bermula esok kepada mereka yang terlibat dengan rokok, vape atau e-rokok (rokok elektronik).
Mengulas lanjut, Muhammad Riyaaz berkata, pihaknya juga telah mempamerkan peringatan di premis mereka bahawa jika ada individu yang merokok dan saman dikenakan terhadap pemilik restoran, mereka hendaklah membayar saman tersebut bagi pihak pemilik premis.
“Sehubungan itu, kami sangat mengalu-alukan penguatkuasaan Akta 852 ini demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.-UTUSAN