KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) belum memuktamadkan representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengugurkan 12 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, representasi itu kini di peringkat akhir penelitian dan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memutuskannya.
Menurut beliau, kes tersebut melibatkan isu cukai pendapatan dan pihaknya perlu melakukan beberapa prosedur dan mendapatkan pengesahan pihak LHDN sebelum memuktamadkan representasi berkenaan.
KETIGA
Rosmah, 72, menghantar representasi ketiga pada 12 Disember 2023 selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos 2023 masih belum diputuskan oleh AGC.
Sehubungan itu, Hakim K. Muniandy menetapkan 11 Oktober ini bagi menyambung penghujahan permohonan Rosmah untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya.
“Kes ini tahun 2018, mahkamah akan meneruskan pendengaran permohonan Rosmah untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya. Saya akan buat keputusan selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak,” ujar beliau.
Terdahulu, peguam Joshua Tay memaklumkan untuk sebutan bagi status perkembangan representasi isteri bekas Perdana Menteri.
Ketika kes disebut pada 23 Ogos lalu, peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu, satu persetujuan telah dicapai berhubung representasi yang dihantar oleh anak guamnya dan kini hanya menunggu kertas kerja untuk dimuktamadkan.
DOKUMENTASI
Ahmad Akram Gharib memberi maklum balas dan mengesahkan bahawa representasi itu sudah hampir dimuktamadkan dan hanya menunggu dokumentasi sebelum diteruskan dengan perintah mahkamah.
Pada prosiding 1 Mac lalu, Ahmad Akram memaklumkan, pihaknya perlu meneliti beberapa butiran dan fakta baharu yang dibangkitkan oleh Rosmah serta memanggil beberapa saksi membantu siasatan sebelum memutuskan representasi tersebut.
Rosmah dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama. – UTUSAN