Representasi Adam Radlan ditolak, bicara sambung 13 Nov. 

Jana Wibawa, AMLA: Representasi Adam Radlan ditolak, bicara sambung 13 Nov. 

ADAM Radlan Adam Muhammad ketika hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.- UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad untuk menyemak semula atau menggugurkan lima pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan tujuh kes pengubahan wang haram (AMLA).

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes hari ini di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Peguam bela, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43, kemudian memaklumkan kepada mahkamah pihaknya bersedia untuk meneruskan soal balas saksi pertama pendakwaan.

“Representasi yang dikemukakan adalah untuk mencadangkan penyelesaian kes tersebut tetapi tidak dapat didedahkan secara terperinci,” katanya.

Suzana kemudian menetapkan kes Adam Radlan dibicarakan pada 13 November seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pada 9 Julai lalu, pembelaan memaklumkan pihaknya telah menghantar representasi berkenaan selepas saksi, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R. Harshini selesai memberi keterangan pada pemeriksaan utama.

Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 dan Januari 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN