Reman lelaki fitnah anggota polis terkorban kes Ulu Tiram disambung dua hari - Utusan Malaysia

Reman lelaki fitnah anggota polis terkorban kes Ulu Tiram disambung dua hari

AZIZI Mat Aris bercakap kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di IPK Perak di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tempoh reman terhadap pekerja kilang yang ditahan kerana disyaki membuat komen berbaur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, minggu lalu, dilanjutkan dua hari lagi.

Perintah sambung reman sehingga esok itu dikeluarkan terhadap lelaki berusia 25 tahun itu selepas tempoh reman selama empat hari sejak Jumaat lalu, berakhir hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, permohonan sambung reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dan terperinci dijalankan terhadap suspek.

Malah katanya, pihak polis juga sedang menunggu beberapa dokumen melibatkan jabatan dan agensi lain bagi melengkapkan siasatan.

“Sebaik sahaja dokumen-dokumen ini diperoleh dan siasatan kes dilengkapkan pasukan penyiasat, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat di Masai, Johor Khamis lalu susulan satu laporan polis yang diterima daripada waris Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.

Laporan yang dibuat pada 29 Ogos lalu itu berkaitan satu hantaran di ruangan komen di laman sosial Facebook milik seorang warga tempatan yang telah menggores perasaan waris keluarga Allahyarham.

Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi 17 Mei lalu, Ahmad Azza Fahmi yang juga anggota ronda cegah jenayah terkorban akibat ditetak seorang lelaki bertopeng dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Insiden itu turut mengorbankan rakan setugas mangsa, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, akibat ditembak di bahagian bahu dan perut oleh individu sama. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN