BALING: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang merempuh sebuah kereta dalam kejadian berhampiran Masjid Charuk Puteh di Jalan Baling-Tanjung Pari, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Eiman Akiff Ismail, 13, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Charan Ai Wan berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu suri rumah berusia 33 tahun berhenti untuk membelok ke simpang sebelah kanan jalan.
“Semasa kereta sedang membelok, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah belakang telah memotong sebelum merempuh Toyota Vios tersebut.
“Mangsa telah hilang kawalan akibat perlanggaran itu lalu terbabas dan melanggar penghadang besi sebelah kanan jalan arah ke Baling. Remaja itu tercampak dan mengalami cedera parah di kepala,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Siong terbabit tidak memakai topi keledar ketika kejadian menyebabkan kecederaan amat teruk di kepala.
“Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN