Reformasi perkhidmatan awam bukan ‘one man show’

Reformasi perkhidmatan awam bukan ‘one man show’

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Reformasi perkhidmatan awam bukanlah tugas seorang individu atau one man show sebaliknya terletak di bahu semua penjawat awam yang menjadi tunjang kepada institusi tersebut. 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, semua pihak dalam perkhidmatan awam perlu mengambil tanggungjawab dan peranan dengan lebih berkesan. 

Katanya, ia bagi memastikan usaha mereformasi pentadbiran kerajaan yang digembleng oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dapat dilaksanakan dengan pantas. 

“Usaha yang digembleng oleh KSN tersebut sudah tentu sukar untuk dicapai sekiranya tiada kerjasama atau penglibatan yang serius daripada semua Ketua Setiausaha (KSU), Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan ketua-ketua jabatan kerajaan yang lain. 

“Semangat kebersamaan dalam satu pasukan besar untuk menjayakan reformasi perkhidmatan awam seperti yang digarap Aspirasi Malaysia Madani oleh Perdana Menteri tidak boleh dilakukan secara berseorangan kerana ia adalah tanggungjawab semua warga yang berada dalam institusi tersebut,” katanya dalam kenyataan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan mahu langkah-langkah reformasi dalam pentadbiran awam dilaksanakan segera dengan menjangkakan September ini adalah bulan pergerakan reformasi yang lebih pesat.

Justeru, Adnan berkata, teguran daripada Shamsul Azri kepada semua ketua-ketua jabatan untuk meneliti semula dasar atau peraturan yang telah lama dan lapuk wajar diberi perhatian serius oleh semua penjawat awam. 

“Apabila kita menyentuh kebersamaan, sudah tentu di peringkat KSN memerlukan penglibatan dan kebersamaan daripada semua KSU, SUK dan ketua-ketua jabatan. 

“Begitu juga di peringkat kementerian dan jabatan-jabatan lain, ketua-ketua jabatan perlu melibatkan semua peringkat pegawai bagi memastikan setiap perkara yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan segera dan berkesan. 

“Penglibatan dan kebersamaan semua pihak dalam memberi pandangan berkaitan kelompongan dalam prosedur atau peraturan tertentu mampu memberi impak yang lebih berkesan dalam isu tatakelola atau salah guna kuasa,” katanya. 

Tambahnya, pembaharuan dalam peraturan dan pekeliling lama sudah pasti dapat memberikan kecekapan dalam perkhidmatan awam. 

“Sudah tentu apabila berlakunya kemajuan dalam teknologi mengakibatkan peraturan lama yang digunakan dalam perkhidmatan awam tidak lagi sesuai dengan kehendak semasa. 

“Justeru, ini adalah masa yang terbaik untuk semua pihak dalam perkhidmatan awam bersama-sama terlibat dalam mereformasikan institusi selari dengan aspirasi Malaysia Madani untuk kekal relevan memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN