Rayuan isteri Daim dapatkan pasport secara kekal 28 November

Rayuan isteri Daim dapatkan pasport secara kekal 28 November

ISTERI Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi menghadiri prosiding pengurusan kes berhubung permohonan untuk mendapatkan semula pasport miliknya hari ini. UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Mahkamah Rayuan menetapkan 28 November ini bagi mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap rayuan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Panel tiga hakim diketuai  Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut menetapkan tarikh sama bagi mendengar rayuan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu jika mahkamah menolak bantahan awal berkenaan.

“Panel akan membuat keputusan berhubung bantahan awal (pihak pendakwaan) terlebih dahulu, jika mahkamah menolaknya, maka kita teruskan dengan penghujahan merit rayuan,” kata beliau.

Hakim Ahmad Zaidi turut bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan mengemukakan bantahan awal terhadap rayuan Na’imah dan bersedia untuk mengemukakan hujah.

Bagaimanapun, Hakim Ahmad Zaidi kemudian  menetapkan supaya pendengaran bantahan awal dan rayuan didengar sekali pada hari yang sama. Na’imah diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Pada 22 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Na’imah untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya secara kekal.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendapati tindakan hakim Mahkamah Sesyen yang mengarahkan supaya pasport Na’imah diserahkan kepada mahkamah adalah sah, wajar dan tidak terdapat ketidakadilan yang berlaku.

Pada masa sama Mahkamah Tinggi turut  bersetuju dengan hujahan pendakwa raya bahawa tidak ada jaminan pemohon (Na’imah) tidak melarikan diri jika pasport tidak ditahan di mahkamah.

Hakim itu berkata dalam kes-kes melibatkan personaliti antaranya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad  yang pernah didakwa di mahkamah, mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu pasport di serahkan kepada mahkamah.

Sementara itu mengenai sama ada keputusan Mahkamah Sesyen telah melanggar hak Na’imah di bawah Perlembagaan Persekutuan, Hakim Ahmad berkata, hak Na’imah sebagai warganegara berubah selepas beliau didakwa di mahkamah.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan Na’imah diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan beliau untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN