Rasuah polis bantuan: Dua lelaki Myanmar direman 5 hari

Rasuah polis bantuan: Dua lelaki Myanmar direman 5 hari

DUA lelaki warga Myanmar (berbaju jingga) dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman selepas dipercayai memberi rasuah kepada anggota polis bantuan di sebuah agensi kerajaan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua lelaki warga Myanmar hari ini direman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai memberi rasuah kepada anggota polis bantuan di sebuah agensi kerajaan, baru-baru ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki warga Myanmar itu disyaki memberi rasuah bernilai RM500 kepada anggota polis bantuan agar tidak menahan pekerja-pekerja mereka yang mempunyai permit kerja di negeri lain.

“Kedua-dua lelaki yang berusia 53 dan 31 tahun itu merupakan subkontraktor tidak berlesen yang menjalankan kerja-kerja pemasangan penapis air.

“Difahamkan, pekerja-pekerja mereka tidak boleh bekerja di Pulau Pinang kerana permit mereka bekerja adalah di negeri lain. Malah, pekerja mereka juga mempunyai kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) palsu.

“Justeru, mereka ditahan semalam pada pukul 3 petang di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN