Rasuah penjawat awam kini guna bitcoin - KSN

Rasuah penjawat awam kini guna bitcoin – KSN

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika berucap pada Persidangan Penyelidikan Governan, Integriti dan Anti Rasuah peringkat kebangsaan kali-3 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Isu rasuah melibatkan perkhidmatan awam kini dilihat semakin kompleks apabila turut melibatkan bitcoin atau mata wang kripto.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, inisiatif seperti perkhidmatan dalam talian Single Sign-On dan Open Data yang dilaksanakan bagi mengurangkan karenah birokrasi serta campur tangan manusia tidak terlepas daripada risiko penyelewengan.

Kata beliau, kepesatan era teknologi digital ini mencipta ruang dan peluang bagi mereka yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi kelemahan prosedur kerja dan peraturan.

“Inilah cabaran bagi kita sebagai penjawat awam untuk meneliti sebarang penambahbaikan undang-undang, peraturan dan dasar sedia supaya sistem perkhidmatan awam tidak mampu diganggu serta digugat oleh golongan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan ketiga di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI), beliau berkata, kerajaan sudah meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan ke-25 teratas dalam tempoh 10 tahun.

Selaras dengan matlamat itu, ujarnya, kerajaan bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“Pasukan ini antara lain berperanan menganalisis dapatan kajian CPI serta mencadangkan syor serta strategi reformasi institusi dan perundangan termasuk pemantapan mekanisme semak dan imbang.

“Bertepatan dengan Bidang Keberhasilan Pertama di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam iaitu Penghayatan Nilai dan Tatakelola, saya melihat persidangan anjuran SPRM ini adalah platform tepat bagi mengupas isu tatakelola melalui perbincangan bersifat akademik,” jelasnya.

Beliau berharap menerusi persidangan ini dapat memacu intelek dengan dapatan penyelidikan dibentang dijadikan rujukan oleh kementerian, jabatan dan agensi bagi membangunkan dasar serta inisiatif pengukuhan tatakelola di organisasi masing-masing.

Sementara itu, Azam memberitahu, sebanyak 18 resolusi digaris, dibentang dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 14 September lalu sepanjang dua tahun penganjuran persidangan.

Menurutnya, ia turut membabitkan perundangan berhubung perolehan kerajaan serta perundangan bagi mengawal selia entiti berkepentingan kerajaan.

“Sebahagian daripada resolusi ini juga sudah dipertimbangkan sebagai asas dalam pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dirasmikan Perdana Menteri pada 7 Mei lalu.

“Kesinambungan dasar-dasar nasional ini memberi isyarat bahawa setiap dapatan penyelidikan diberi perhatian serius oleh kerajaan dalam usaha menambah baik tatakelola, integriti dan antirasuah negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya