KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC) dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM7,132,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi pelbagai kontrak pembekalan kepada anak dan menantunya, 10 tahun lalu.
Hakim Azura Alwi turut memerintahkan Rohaizat Ahmad, 59, dipenjara 68 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Terdahulu, hakim terbabit mendapati tertuduh bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
“Setelah mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan tertuduh, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan ke atas pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama,” kata Azura.
Azura kemudian menjatuhkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun menjadikan keseluruhan hukuman penjara ialah sebanyak 74 tahun namun disebabkan mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini, Rohaizat hanya perlu menjalani pemenjaraan selama tujuh tahun.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, tertuduh didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengarah Urusan FTC untuk mendapatkan suapan bagi menantunya dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise milik menantunya sebagai pembekal barangan antaranya peralatan elektronik, cenderahati, baju kurung, kemeja-T berkolar selain pengendali program latihan kemahiran kepada FTC.
Bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, bapa kepada enam orang anak itu didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sama untuk mendapatkan suapan bagi anaknya dengan melantik syarikat milik anaknya iaitu Hexa Tech Pride sebagai pembekal barangan antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, komputer riba, projektor, barangan elektronik dan konsultan program keusahawanan kepada FTC.
Pembekalan barang tersebut membabitkan kontrak berjumlah RM1,648,810.60.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di FTC, No 22 Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini, antara 23 April 2014 hingga 29 Jun 2018.
Rohaizat didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Natrah Fareha Rahmat mencadangkan hukuman penjara yang wajar dikenakan terhadap tertuduh adalah di antara lima hingga 10 tahun beserta denda berjumlah RM8,244,53 untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa seriusnya gelaja rasuah.
“Hukuman yang dikenakan perlu setimpal supaya masyarakat tidak melakukan kesalahan yang sama seperti tertuduh lakukan dan mahkamah juga adalah badan yang boleh mengingatkan masyarakat untuk memerangi jenayah rasuah,” kata Natrah.
Peguam bela, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim yang mewakili Rohaizat, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang paling rendah dan turut memohon rayuan agar pelaksanaan hukuman pemenjaraan dan denda ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan.
“Tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang penuh sehingga kini dengan pihak SPRM dan tidak pernah gagal hadir bicara mahkamah,” kata Mohd Baharuddin.
Selepas menjatuhkan hukuman penjara serta denda, Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman tersebut dengan syarat pihak pembelaan perlu memfailkan rayuan dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh hari ini. Mahkamah turut mengekalkan jumlah jaminan RM80,000 yang ditetapkan sebelum ini.
Seramai 40 saksi pendakwaan dan tiga orang saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 9 Januari 2020. – UTUSAN