Rasa resah petanda adik hendak ‘pergi’

Rasa resah petanda adik hendak ‘pergi’

SUASANA hiba menyelubungi perkarangan Unit Forensik Hospital Kuala Lipis ketika proses bedah siasat mangsa kemalangan di Kilometer 57 Jalan Lingkaran Tengah Utama dekat Lipis, Pahang, semalam. – UTUSAN/NORFARHIZA MOHD. ATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: “Sebelum tidur isteri sempat bertanya kenapa saya nampak resah, saya cakap rasa tak sedap hati macam ada orang nak meninggal tapi tidak sangka adik saya sendiri yang ‘pergi’.

Demikian kata Mohd. Shamsuhaimin Mohd. Yusoff, 39, abang kepada Allahyarham Mohd. Izani, 31, yang maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 57 Jalan Lingkaran Tengah Utama (CSR) dekat kawasan Kampung Gua Tagang, Merapoh di sini kira-kira 2.35 pagi semalam.

Kejadian melibatkan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dan treler muatan kayu itu turut meragut nyawa dua lagi mangsa iaitu Mohd. Aizad Rosdi, 27 dan Rushaidee Rusli, 22.

Mohd. Shamsuhaimin berkata, kali terakhir dia bertemu arwah Mohd. Izani yang juga anak kelima dari sembilan beradik adalah Ahad minggu lalu ketika majlis pengebumian abang iparnya di Kelantan.

Menurutnya, ketika itu ­dia melihat adiknya berubah menjadi muram dan pendiam sedang­kan sebelum ini arwah seorang yang cukup ceria serta peramah.

“Tengah malam tadi (semalam) hati saya rasa tidak sedap, gelisah dan tidak tentu arah. Saya dapat rasa macam ada orang nak mati tapi sebelum ini sudah dua ahli keluarga me­ninggal dalam masa terdekat.

“Ahad minggu lalu abang ipar ‘pergi’, tiga hari lalu bapa saudara menyusul dan tidak sangka rupanya yang ketiga adik saya sendiri. Isteri tengok saya gelisah terpusing sana sini pukul 2 pagi, baru nak terlelap ada orang beritahu pasal kemalangan yang menimpa adik sekitar pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

ANGGOTA penyelamat memberikan rawatan awal kepada mangsa kemalangan di jalan Merapoh-Kuala Lipis di Lipis, Pahang.

Mohd. Shamsuhaimin berkata, arwah Mohd. Izani meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia lima tahun. Jena­zah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kalis, Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara itu, Rushaidam Rusli, 25, yang juga abang Allahyarham Rushaidee tidak sangka niat baik arwah adiknya berhenti untuk menolong membaiki lori rakannya bertukar tragedi.

“Arwah Rushaidee sudah dua tahun bekerja memandu lori, merata tempat dia pergi menghantar barang termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Kali terakhir saya bertemu dengannya sekitar pukul 4 petang semalam (kelmarin) dan dia hanya memaklumkan akan menghantar kayu ke Selangor.

“Namun sekitar pukul 5 pagi saya terima panggilan telefon dari orang awam memaklumkan adik saya terlibat dalam kemalangan di Merapoh,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika Mohd. Izani yang juga pemandu treler bersama kelindan, Wan Muhammad Syafiq Wan Hanafi, 20, dalam perjalanan dari Tanah Merah, Kelantan menuju Selangor untuk menghantar kayu.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan berat tersebut mengalami kerosakan brek dan berhenti di bahu jalan lorong susur keluar dari Kampung Merapoh untuk dibaiki.

“Semasa membaiki kerosakan dijalankan di sebelah kiri treler yang rosak, tiba-tiba sebuah trak pikap dari arah yang sama hilang kawalan lalu me­langgar bucu kiri bahagian belakang treler sebelum melanggar kesemua mangsa yang sedang membaiki kerosakan treler,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya