KUALA TERENGGANU: Peniaga cenderamata di Pasar Kedai Payang 1 tersenyum lebar apabila rantai kunci patung penyu memakai topi keledar menjadi buruan pelancong terutama peserta Himpunan RX-Z Members 6.0 di Gong Badak, Kuala Nerus di sini, baru-baru ini.
Walaupun rantai kunci itu sudah lama dijual peniaga di pasar pelancongan tersebut, jualannya semakin laris sejak tular di aplikasi TikTok dan menjadi pilihan peserta RX-Z Members sebagai oleh-oleh untuk dibawa pulang.
Seorang peniaga, Nik Ramsuzilawati Nik Ramli, 39, berkata, ramai peserta RX-Z Members ke kedainya untuk membeli rantai kunci tersebut kerana isteri, anak serta kawan-kawan perempuan mereka menyukainya.
“Mereka kata rantai kunci ini cantik digunakan di beg dan sebagai tanda kenangan kunjungan ke Terengganu sempena penganjuran Himpunan RX-Z Members 6.0.
“Saya kehabisan stok setelah jual kira-kira 500 rantai kunci patung penyu itu dalam sehari.
“Kebanyakan peniaga lain yang jual rantai kunci patung penyu pun kehabisan stok kerana semuanya pakat serbu membeli,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pasar Payang 1, di sini semalam.
Program Himpunan RX-Z Members 6.0 yang berlangsung dua hari bermula 13 September lalu di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus dengan penyertaan kira-kira 60,000 peserta dari seluruh negara.
Seorang lagi peniaga, Mohamad Syakir Mohd. Yusof, 29, pula berkata, faktor harga rantai kunci patung penyu yang murah iaitu hanya RM10 juga menjadikannya sebagai cenderahati yang berbaloi dibawa pulang untuk orang tersayang.
“Selain keropok lekor, keropok keping dan baju kelawar, rantai kunci patung penyu ini menjadi cenderahati ‘baharu’ yang ‘panas’ di Pasar Payang sepanjang Himpunan RX-Z Members kali ini.
“Nampaknya, saya perlu tempah lebih banyak rantai kunci patung penyu ini untuk memenuhi permintaan pengunjung pada masa akan datang.
“Semua 1,500 stok patung penyu sudah habis dan saya perlu menunggu sebulan lagi sebelum stok baharu sampai dari China,” katanya. – UTUSAN