KUALA LUMPUR: Pelakon, Lana Nodin, 44, mendedahkan suaminya, David McKienzie, 45, menerima gangguan golongan lelaki-lelaki songsang yang sering menghantar mesej berbaur godaan di media sosial.
Kata Lana, lebih mengejutkan ada dalam kalangan golongan itu yang memberanikan diri mengajak suaminya meluangkan masa dengan mereka di gimnasium.
“Ramai yang goda suami saya di media sosial bukan perempuan, tetapi ‘adik-adik’ dan pondan. Sampaikan ada dalam kalangan mereka ini yang berani ajak David pergi gimnasium dan bersenam dengan mereka.
“Suami saya berasa hairan dengan keadaan ini dan dia minta saya tolong balas mesej-mesej pelik yang diterimanya di media sosial,” katanya berseloroh.
Lana berkata demikian ketika ditemui sempena pelancaran rangkaian produk penjagaan rambut Noir x RidzOkumura baru-baru ini.
Lana dan David bergelar suami isteri sejak 2015. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, William Daud McKienzie, Gia Quinn McKienzie.
Sementara itu, Lana meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan suami yang bukan dalam kalangan berhidung belang atau kaki perempuan.
“Suami saya ini lain sedikit perangainya, bukan mata keranjang. Bahkan dia tidak suka melihat perempuan berpakaian terdedah. Padanya ‘murahan’.
“Malah David ini ketua keluarga yang sentiasa mendahulukan isteri dan anak-anak dalam apa juga keadaan.
“Alhamdulillah. Mungkin ini kurniaan Allah selepas beberapa kali saya kecundang dalam perhubungan. Akhirnya Allah hadirkan suami yang baik untuk saya,” kongsinya.