PETALING JAYA: Pelakon, Luqman Hafidz, lega kesedaran mengenai isu penunggang agama semakin menjadi tumpuan ramai.
Luqman atau Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 32, bagaimanapun berharap agar masyarakat tetap berwaspada memandangkan individu berkepentingan akan selalu menggunakan pelbagai cara untuk tujuan manipulasi.
“Kesedaran terhadap isu penunggang agama sudah semakin meluas sehingga diadaptasi menjadi novel. Saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dahulu juga ada isu ektremis tapi berjaya ditangani dengan baik oleh pihak pengurusan.
“Orang ambil kesempatan ini bukan kira beragama sahaja, banyak lagi cara, cuma kita perlu fokus dan berhati-hati,” jelasnya.
Luqman yang melakonkan watak penunggang agama ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media drama ‘Satu Hari Nanti’ di Damansara, baru-baru ini.
Namun begitu, bapa kepada seorang anak itu juga berharap agar pengkarya berhati-hati menampilkan sosok penunggang agama agar tidak dilihat cuba menimbulkan fitnah terhadap ajaran Islam.
“Pengarah dan penerbit juga berhati-hati dalam membawakan isu ini kerana ia melibatkan agama. Kita tidak mahu dianggap seperti menghina.
“Oleh itu sepanjang drama ini, kami hanya menunjukkan bagaimana karakter ini menipu sehingga membuatkan ramai yang mahu ikut apa yang dikata.
“Kami tidak pergi terlalu jauh seperti menyentuh hadis. Segala hadis yang ada dalam naskhah ini adalah yang benar dan tidak diubah,” tambahnya.
Drama Satu Hari Nanti menceritakan kisah ‘cinta Islamik’ antara Noah dan Marissa ditayangkan menerusi platform penstriman digital iQIYI.
Turut sama menjayakan drama arahan Pali Yahya ini ialah Bella Astillah, Eyka Farhana, Shahidan Izwan, Fazlina Ahmad Daud dan Ezaidi Aziz. -UTUSAN