PETALING JAYA: Pengacara, Ceddy Ang, berkongsi berita duka memaklumkan kucing kesayangan yang dibelanya selama 13 tahun telah mati pada Sabtu.
Kucing daripada baka Siam yang diberi nama Baby Joey itu disahkan menghidap kanser sebelum menerima rawatan terakhir di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Waktu menerima berita itu melalui mesej, saya masih di Penang sementara dia dimasukkan ke wad di UPM.
“Doktor maklumkan Joey pergi dalam keadaan tenang semasa diberi oksigen tambahan tanpa menunjukkan sebarang reaksi ganas.
“Semalam saya sangat sedih dan ambil masa beberapa jam untuk menenangkan diri sebelum membuat video ini,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X.
Malah, menurut Ceddy, Joey bukan sahaja menghidapi kanser, malah disahkan dijangkiti virus Feline Infectious Peritonitis (FIP) menyebabkan buah pinggangnya gagal berfungsi dengan baik.
“Saya tahu ramai yang bertanya keadaan Joey kerana sebulan lalu dia disahkan menghidapi kanser dan kami pergi ke beberapa klinik untuk mendapatkan rawatan. UPM adalah ikhtiar terakhir.
“Doktor di sana memaklumkan selain ketumbuhan, Joey juga mempunyai jangkitan FIP menyebabkan buah pinggangnnya tidak berfungsi dengan baik. Oleh itu rawatan kemoterapi tidak boleh dilakukan secepatnya.
“Saya turut menyalahkan diri saya, kalaulah saya dapat lakukan semuanya lebih awal mungkin semua ini tidak akan terjadi.
“Tapi doktor turut memberitahu kanser adalah kes yang kompleks. Walau kita berusaha sekuat manapun, jika ia mahu terjadi, ia akan berlaku,” jelasnya.
Namun begitu, pengacara Live+ The Hardest Singing Show itu juga mengingatkan orang ramai agar membawa kucing peliharaan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan.
“Kalau anda ada kucing peliharaan, peluklah mereka. Ambil video dan gambar mereka banyak-banyak kerana anda akan perlukannya nanti.
“Inilah masanya untuk anda bawa pergi bawa kucing untuk buat pemeriksaan kesihatan. Sebabnya, bila usia mereka sudah tua, lebih banyak penyakit boleh datang menjangkiti mereka,” tambahnya.
Sejak semalam, video terakhir kucing bernama Joey itu telah mencuri perhatian ramai dan ditonton lebih daripada 100 ribu pengguna.
“Terima kasih kerana berkongsi rasa dengan kami, Ceddy. Terus kuat,” kata satu komen
“Saya nampak video terakhir awak tentang Joey, saya turut berduka cita,” kata pengguna yang lain
“Kekal tabah, Ceddy,” kata seorang pengguna. -UTUSAN