Rakyat nikmati harga barang lebih rendah

Rakyat nikmati harga barang lebih rendah

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) pada majlis penyerahan lori untuk Jualan Sejahtera Rakyat di Ipoh kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Program jualan barangan keperluan harian kepada rakyat di negeri ini terutama di luar bandar dengan potong harga hingga 20 peratus iaitu Jualan Sejahtera Rakyat kini semakin diperluaskan.

Ia dilaksanakan menerusi sumbangan sebuah lori barangan jualan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) yang mengendalikan program jualan tersebut.

Sumbangan itu menambah jumlah lori sedia ada daripada tiga kepada empat yang membolehkan inisiatif jualan oleh kerajaan negeri diperluaskan ke lebih banyak lokasi di
seluruh negeri, terutamanya di kawasan luar bandar.

Sejak Januari hingga Ogos lalu, program jualan itu sudah menjelajah 159 lokasi, memberi manfaat kepada 21,953 penerima dengan subsidi harga barangan berjumlah RM1.01 juta.

Penambahan lori baru itu memperluaskan lagi jangkauan program, membolehkan lebih ramai penduduk luar bandar menikmati harga barangan keperluan yang lebih berpatutan, termasuk beras, minyak masak, dan ayam segar yang dijual dengan diskaun sehingga 20 peratus daripada harga pasaran.

Majlis penyerahan lori disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya, kepada Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR, Datuk Ismail Saffian yang
disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu majlis di sini kelmarin.

Saarani berkata, kerjasama antara SADC dan YBUDR itu satu lagi langkah positif dalam usaha kerajaan negeri untuk terus memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya
golongan yang memerlukan.

Menurutnya, kerjasama itu adalah contoh terbaik bagaimana agensi-agensi kerajaan boleh berganding bahu untuk memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Kerjasama strategik antara kedua-dua agensi ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan logistik, tetapi juga menekankan peranan penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN