Rakyat Malaysia realisasi anak tukang cat sambung pengajian ke menara gading

Rakyat Malaysia realisasi anak tukang cat sambung pengajian ke menara gading

WAN Zalilah Shafie (kanan) menyampaikan sumbangan komputer riba dan mesin pencetak beserta sumbangan zakat kepada Nur Aleesa Nizar (dua dari kiri) di kediaman pelajar itu di Jalan Tanjong Kuala, Tumpat, Kelantan hari ini - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Rakyat Malaysia terus mempamerkan sikap murah hati apabila merealisasikan impian seorang anak tukang cat untuk menyambung pengajian ke menara gading selepas berdepan dengan masalah kewangan sebelum ini.

Nur Aleesa Nizar, 19, berkata, sejurus menerima pada 6 September lalu ayahnya Nizar Jaaffar, 53, buntu selepas perlu mencari wang untuk menjelaskan yuran pengajian serta mencari komputer riba sebagai kemudahan pengajian.

“Jumlah yuran pengajian setahun adalah RM8,860 dengan RM7,540 dibiayai kerajaan. Yuran pengajian setahun yang perlu dibayar sendiri adalah RM1,320. Kami mahu selesaikan perkara penting dahulu iaitu menjelaskan yuran pengajian setahun dan cari komputer riba.

“Alhamdulillah, hasil bantuan seluruh rakyat Malaysia saya dapat meneruskan hasrat menyambung pengajian seterusnya bergelar sebagai pendidik selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jalan Tanjong Kuala, di sini hari ini.

Sebelum itu, Penyelaras 3rd Force Pasir Mas, Wan Zalilah Shafie menyampaikan sumbangan komputer riba dari Teacher Fiera dan mesin pencetak sumbangan orang ramai kepada Nur Aleesa serta wang tunai sumbangan peribadi dari Chua Yew Beng.

Pelajar cemerlang dari Kolej Matrikulasi Kelantan di Kok Lanas, Ketereh dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.58 dalam jurusan Sains Hayat memberitahu dia teruja dapat meneruskan pengajian dalam bidang diminatnya.

Katanya, dia akan melaporkan diri di Kampus Induk USM Di Pulau Pinang pada 4 Oktober nanti.

“Saya mahu guna peluang ini sebaiknya untuk berusaha merubah nasib keluarga dan membantu dua adik saya, Nur Anis Amira, 18 dan Nur Ayuni Balqis, 7 melanjutkan pelajaran ke universiti dan mencapai cita-cita mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Nizar berkata, dia bersama isteri Roslina Mamat, 48, gembira anak sulungnya itu dapat menyambung semula pengajian.

“Saya sanggup membanting tulang buat pelbagai kerja asalkan anak-anak semua berjaya dalam pelajaran serta kehidupan di dunia dan akhirat.

“Namun saya percaya kita tidak boleh paksa dan perlu biar anak-anak sambung pelajaran mengikut minat mereka sendiri,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN