Rakyat Malaysia di Lubnan digesa segera tinggalkan negara itu

Rakyat Malaysia di Lubnan digesa segera tinggalkan negara itu – Mohamad Hasan

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua warganegara Malaysia di Lubnan digesa untuk segera meninggalkan negara itu susulan serangan Israel di Beirut dan peningkatan pertempuran rentas sempadan di selatan Lubnan.

 Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad hasan berkata, kerajaan tidak akan melakukan proses evakuasi untuk memindahkan rakyat pulang ke tanah air, sebaliknya menasihatkan mereka untuk meninggalkan negara tersebut atas kapasiti masing-masing.

 Beliau berkata, tindakan berpindah itu perlu dilakukan segera kerana dikhuatiri tiada penerbangan di Beirut selepas ini jika keganasan semakin memuncak mengakibatkan rakyat lebih sukar untuk keluar.

 “Kita tidak akan mengadakan proses evakuasi tetapi menasihatkan mereka untuk meninggalkan negara tersebut.

 “Takut kalau lewat nanti tidak ada  penerbangan di Beirut akan menyukarkan lagi rakyat untuk keluar dari negara itu,” katanya di sini semalam.

 Berdasarkan rekod Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, terdapat 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan pihak kedutaan, dan semuanya dilaporkan dalam keadaan selamat.

 Sekurang-kurangnya 492 orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan Hezbollah di selatan Lubnan semalam dengan 35 kanak-kanak dan 58 wanita termasuk dalam jumlah korban, manakala 1,645 yang lain cedera.

 Ribuan keluarga turut melarikan diri apabila tentera Israel mendakwa pasukannya menyerang 1,300 sasaran Hezbollah dalam operasi untuk memusnahkan infrastruktur  yang dibina kumpulan itu sejak perang 2006.

 Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia amat kesal kerana pihak Israel telah melakukan keganasan baharu di Selatan Lubnan tanpa alasan munasabah.

 Berhubung pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), beliau yakin pasukan di bawah seliaan UNIFIL itu mempunyai modus operandi khusus untuk memindahkan pasukan berkenaan jika perlu.

  “UNIFIL ada modus operandi jika nak keluarkan mereka dari sana, bukan Malaysia sahaja tetapi ada 11 negara di bawah UNIFIL itu.

 “MALBATT Malaysia di bawah UNIFIL dan kita tak akan buat apa-apa melainkan PBB yang menguruskannya. Kita harap keadaan tidak berlaku lebih dahsyat dan kita mahu memberikan tekanan kepada Israel supaya serangan ke atas Lubnan dihentikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN