‘Rakyat jadi mangsa drama politik PN’

‘Rakyat jadi mangsa drama politik PN’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Perikatan Nasional (PN) yang berterusan bermain politik selepas menolak Memorandum Persefahaman (MoU) didakwa jelas menunjukkan pengabaian kepentingan rakyat demi matlamat politik mereka. 

Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Attan berkata, PN sekali lagi menolak MoU yang diusulkan Kerajaan Perpaduan memperlihatkan bagaimana kepentingan politik mereka diletakkan lebih tinggi daripada kesejahteraan rakyat. 

Katanya, langkah yang sepatutnya membawa kestabilan politik negara kini bertukar menjadi drama politik tanpa kesudahan. 

“Rakyat, yang sudah lama menunggu penyelesaian, kini dihidangkan dengan retorik dan permainan politik PN. 

“MoU ini memberi peluang kepada pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih konstruktif serta memastikan peruntukan diagihkan secara adil kepada semua Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, media melaporkan, semua ahli Parlimen PN sebulat suara menolak MoU kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang. 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilapor berkata, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama. 

Selain itu, katanya, mengongkong kebebasan di samping boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa MoU itu bertujuan membawa kestabilan politik, tetapi PN menolak tanpa cadangan balas. 

“Ini menunjukkan PN lebih fokus pada perpecahan politik daripada penyelesaian demi kepentingan rakyat Kestabilan politik yang dijanjikan oleh MoU penting untuk pemulihan ekonomi. 

“Namun, tindakan PN yang berterusan bermain politik jelas menunjukkan pengabaian kepentingan rakyat demi matlamat politik mereka. Hentikan drama, rakyat perlukan penyelesaian segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya